Skip to main content

Dunia

Anak gajah di Thailand dilanggar motosikal berjaya diselamatkan selepas bantuan CPR

Mana Srivate, seorang lelaki dari Thailand sudah melakukan puluhan percubaan bantuan pernafasan sepanjang 26 tahun beliau berkhidmat sebagai seorang pekerja penyelamat, namun tidak pernah sekali pun beliau berbuat demikian terhadap seekor gajah.

Anggaran Waktu Membaca:
Anak gajah di Thailand dilanggar motosikal berjaya diselamatkan selepas bantuan CPR

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 23 Dec 2020 12:56PM Dikemas Kini : 23 Dec 2020 12:58PM

BANGKOK: Mana Srivate, seorang lelaki dari Thailand sudah melakukan puluhan percubaan bantuan pernafasan sepanjang 26 tahun beliau berkhidmat sebagai seorang pekerja penyelamat, namun tidak pernah sekali pun beliau berbuat demikian terhadap seekor gajah.

Ketika beliau sedang melakukan perjalanan pada lewat Ahad (20 Dis), Encik Mana berjaya menyelamatkan seekor anak gajah yang dilanggar oleh sebuah motosikal ketika ia sedang melintasi jalan raya bersama sekumpulan gajah liar di wilayah timur Chanthaburi.

Dalam rakaman video yang tular di media sosial di Thailand pada Isnin (21 Dis), Encik Mana kelihatan cuba menyedarkan kembali seekor anak gajah yang terbaring miring di tengah jalan raya. Sementara itu, beberapa rakan kerja Encik Mana pula kelihatan sedang merawat seorang penunggang motosikal yang cedera, beberapa meter dari anak gajah itu.

Kedua-dua penunggang motosikal dan anak gajah itu sedang pulih dan tidak mengalami kecederaan serius.

"Ia adalah naluri saya untuk menyelamatkan nyawa, tetapi saya bimbang sepanjang masa itu kerana saya boleh mendengar ibu gajah dan gajah-gajah lain memanggil anak gajah itu," kata Encik Mana kepada Reuters melalui panggilan telefon.

"Saya mengagak kedudukan jantung gajah berdasarkan teori manusia dan klip video yang saya tonton online," katanya.

"Apabila anak gajah itu mula bergerak, saya hampir menangis."

Anak gajah itu berdiri selepas kira-kira 10 minit dan dibawa ke sebuah lagi tempat untuk dirawat, sebelum ia dibawa ke tempat kejadian dengan harapan ia dapat disatukan semula dengan ibunya.

Gajah-gajah itu kembali apabila ibu gajah itu terdengar teriakan anaknya, kata Encik Mana.

Meskipun berdepan puluhan kemalangan jalan raya melibatkan manusia, Encik Mana berkata anak gajah itu merupakan satu-satunya mangsa yang beliau berjaya menyedarkan semula dengan memberi bantuan pernafasan (CPR).

Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita