Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Anak di Indonesia ini tidak diberi surat beranak dek nama terlalu panjang

Nama penuh anak mereka: Rangga Madhipa Sutra Jiwa Cordosega Akre Askhala Mughal Ilkhanat Akbar Sahara Pi-Thariq Ziyad Syaifudin Quthuz Khoshala Sura Talenta.

Anggaran Waktu Membaca:
Anak di Indonesia ini tidak diberi surat beranak dek nama terlalu panjang

(Gambar hiasan: BERNAMA)

Diterbitkan : 09 Oct 2021 11:19PM Dikemas Kini : 09 Oct 2021 11:21PM

INDONESIA: Bayangkan betapa bimbangnya seorang ibu bapa apabila anak mereka tidak diberi surat beranak rasmi walaupun sudah menginjak usia tiga tahun.

Begitu risaunya pasangan dari Jawa Timur, Arif Akbar dan Suci Nur Aiysiah, hingga sanggup menulis surat terbuka langsung kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo.

Ini semuanya, lapor media tempatan Detik, gara-gara nama anak mereka yang terlalu panjang hingga tidak muat dalam dokumen rasmi.

Nama penuh anak mereka: Rangga Madhipa Sutra Jiwa Cordosega Akre Askhala Mughal Ilkhanat Akbar Sahara Pi-Thariq Ziyad Syaifudin Quthuz Khoshala Sura Talenta.

Nama timangannya pula? Cordo.

Menurut Detik, Arif berkata nama anak lelakinya itu ada hubung kait dengan sejarah ketamadunan Islam.

Nama terbentuk dari 19 perkataan dan 115 huruf itu, tambahnya, adalah hasil perbincangan dengan pakciknya Mujoko Zahid, seorang budayawan.

Menurut laman Kompas, pasangan suami isteri itu menolak syor pihak berkuasa untuk memendekan atau menukar nama anak mereka.

Ini kerana menurut mereka, nama yang dipilih sarat dengan makna serta harapan ibu bapa buat sang putera itu.

Pihak berkuasa pula menerangkan kepada Kompas bahawa keputusan menolak permohonan dokumentasi pasangan itu adalah berdasarkan had jumlah abjad pada dokumen rasmi yang sekitar separuh daripada nama budak itu.

"Kami tegaskan bukan meminta ganti nama, tetapi dalam penulisan nama KK (surat kelahiran), KTP (kad pengenalan), akta harus disesuaikan maksimum 55 karakter huruf termasuk jarak," jelas seorang jurucakap seperti dilaporkan laman itu.

Sementara itu, Arif dan isterinya masih ada masa dua tahun lagi sebelum anak mereka itu memerlukan dokumen rasmi bagi pendaftaran sekolah. 

Sumber : Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan