Anak bekas Menteri Pertahanan M'sia kekal bebas tuduhan salah guna dadah

(Gambar: BERNAMA)
PUTRAJAYA: Anak bekas Menteri Pertahanan Malaysia Mohamad Sabu, Ahmad Saiful Islam pada Jumaat (26 Ogos) kekal bebas atas tuduhan penyalahgunaan dadah yang dikenakan tiga tahun lepas.
Ini berikutan keputusan sebulat suara oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Encik Kamaludin Md Said, yang menolak rayuan pihak pendakwaan selaku perayu bagi mengetepikan keputusan hakim Mahkamah Tinggi berhubung pembebasan Ahmad Saiful Islam, 34 tahun.
"Mahkamah telah mempertimbangkan hujahan kedua-dua pihak dan tidak bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa hakim Mahkamah Tinggi telah tersalah arah dari segi fakta dan undang-undang kerana membenarkan rayuan Ahmad Saiful Islam.
"Mahkamah berpuas hati bahawa hakim Mahkamah Tinggi telah mempertimbangkan keterangan secara keseluruhan dan mahkamah ini mendapati tiada keraguan terhadap keputusan hakim itu yang melepas dan membebaskan Ahmad Saiful Islam.
"Oleh itu, rayuan pendakwaan ditolak dan keputusan oleh Mahkamah Tinggi dikekalkan," kata Encik Kamaludin yang bersidang bersama-sama Encik M. Gunalan dan Encik Hashim Hamzah.
Mengikut pertuduhan, Ahmad Saiful Islam didakwa menggunakan dadah jenis THC di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada pukul 2.05 pagi, 5 Jan 2019.
Pada 27 Oktober 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Ahmad Saiful Islam atas pertuduhan itu selepas membenarkan rayuannya untuk membatalkan sabitan dan hukuman penjara lapan bulan yang diputuskan oleh Mahkamah Majistret pada 24 Jun 2020.
Hakim Collin Lawrence Sequerah ketika membuat keputusan itu berkata pengambilan hanya satu botol air kencing membuka kemungkinan berlakunya pencemaran kerana sampel yang sama digunakan oleh polis untuk ujian saringan dan ahli kimia untuk ujian pengesahan.
Beliau berkata mahkamah mendapati kegagalan pihak polis untuk mematuhi garis panduan dengan tidak mengambil dua botol sampel air kencing telah menyebabkan sabitan itu cacat.
Sebelum ini, Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan ke atas Ahmad Saiful Islam selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya K. Mangai manakala Ahmad Saiful Islam diwakili peguam Encik Nicholas Kow, Encik Nasar Khan dan Encik Emile Ezra Hussain.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.