Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Amnesty International gesa India hentikan tindakan keras kejam terhadap penunjuk perasaan Muslim

Anggaran Waktu Membaca:
Amnesty International gesa India hentikan tindakan keras kejam terhadap penunjuk perasaan Muslim

(Gambar: Money Sharma/AFP)

Diterbitkan : 15 Jun 2022 02:36PM Dikemas Kini : 15 Jun 2022 02:51PM

NEW DELHI: India mesti menghentikan dengan serta-merta tindakan keras "kejamnya" terhadap masyarakat Islam yang menganjurkan tunjuk perasaan di jalan-jalan raya bagi membantah kenyataan seorang pemimpin parti pemerintah mengenai Nabi Muhammad, tegas Amnesty International pada Selasa (14 Jun). 

Dua penunjuk perasaan terbunuh dan ratusan lagi diberkas minggu lalu dalam bantahan yang berlaku di merata negara berhubung kenyataan tersebut, yang mengheret India ke dalam kemelut diplomatik serta mencetuskan kemarahan meluas dalam kalangan masyarakat Islam sedunia. 

Rakaman video jentolak merobohkan rumah-rumah mereka yang diberkas atau dikenal pasti sebagai penunjuk perasaan sudah tersebar luas di media sosial. 

Pihak berkuasa "mengenakan tindakan keras yang kejam secara memilih terhadap anggota masyarakat Islam yang berani bersuara untuk membantah terhadap diskriminasi yang dihadapi mereka" kata pegawai Amnesty International, Aakar Patel, dalam satu kenyataan. 

"Mengambil tindakan keras terhadap penunjuk perasaan dengan menggunakan kekerasan yang melampau, meletakkan mereka di bawah tahanan secara sewenang-wenangnya dan merobohkan rumah mereka melanggar sepenuhnya komitmen India di bawah undang-undang hak asasi manusia sejagat."

Lebih 300 orang diberkas di wilayah utara Uttar Pradesh kerana menyertai tunjuk perasaan minggu lalu. 

Ketua Menteri Uttar Pradesh Yogi Adityanath, yang juga sami bersuara lantang, merupakan antara tokoh politik nasionalis Hindu yang paling lantang dengan retorik berunsur memecahbelahkan terhadap umat Islam seramai 200 juta orang di India. 

Adityanath sudah berkali-kali menggesa pihak berkuasa untuk merobohkan rumah para individu yang dituduh melakukan jenayah, satu gesaan yang menurut para pengkritik mencabuli larangan undang-undang perlembagaan dan hak asasi manusia berhubung hukuman kolektif.

Amnesty menuntut agar penunjuk perasaan yang ditahan "dibebaskan dengan serta-merta dan tanpa syarat".

Sementara itu, Encik Patel berkata penahanan dan perobohan itu merupakan "sebahagian daripada langkah wilayah itu yang amat membimbangkan dan menyasarkan masyarakat Islam". 

Sumber : AFP/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa