Amnesty dakwa Israel sengaja sebabkan rakyat Palestin kebuluran di Gaza

Penduduk Palestin menuju ke tapak penghantaran bantuan kemanusian di kem Bureij di tengah Carikan Gaza pada 17 Ogos, 2025. (Gambar: AFP/Eyad Baba)
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan bantuan kemanusiaan memberi amaran tentang kebuluran di wilayah Palestin tersebut.
Israel, sambil mengehadkan kemasukan bantuan ke Carikan Gaza, berulang kali menolak dakwaan berlaku kebuluran yang disengajakan dalam perang yang sudah berlarutan selama 22 bulan.
Dalam satu laporan yang memetik keterangan dari penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal dan kakitangan perubatan yang merawat kanak-kanak yang kekurangan zat makanan, Amnesty menyatakan bahawa "Israel sedang menjalankan kempen menyebabkan kebuluran yang disengajakan di Carikan Gaza yang diduduki."
Kumpulan itu menuduh Israel "secara sistematik memusnahkan kesihatan, kesejahteraan dan struktur sosial kehidupan Palestin".
"Ia adalah hasil rancangan dan dasar yang dirancang dan dilaksanakan oleh Israel, sepanjang 22 bulan lalu, untuk menimpakan keadaan hidup menderita terhadap penduduk Palestin di Gaza yang akan membawa kepada kemusnahan fizikal - yang merupakan sebahagian daripada pembunuhan beramai-ramai atau genosid Israel terhadap penduduk Palestin di Gaza," menurut Amnesty.
Laporan itu berdasarkan temu bual yang dijalankan dalam beberapa minggu kebelakangan ini melibatkan 19 penduduk Gaza yang berlindung di kem-kem sementara serta dua kakitangan perubatan dari dua hospital di Bandar Gaza.
Apabila dihubungi oleh AFP, tentera Israel dan kementerian luar Israel tidak segera memberi komen mengenai dapatan Amnesty.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.