Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Amir Qatar pemimpin Arab pertama lawat Syria sejak kejatuhan Bashar al-Assad

Anggaran Waktu Membaca:
Amir Qatar pemimpin Arab pertama lawat Syria sejak kejatuhan Bashar al-Assad

Ahmed Al-Sharaa (kanan), yang diisytiharkan sebagai Presiden sementara Syria, menyambut kedatangan Amir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani (kiri) di Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik pada Khamis (30 Jan). (Gambar: SANA / AFP)

Diterbitkan : 31 Jan 2025 11:30AM Dikemas Kini : 31 Jan 2025 11:38AM
DAMSYIK: Amir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani tiba di Damsyik pada Khamis (30 Jan), menjadikannya pemimpin Arab pertama yang melawat Syria sejak kejatuhan rejim Bashar al-Assad.

Ahmed Al-Sharaa, yang diisytiharkan sebagai Presiden sementara Syria semasa satu persidangan pada Rabu malam, menyambut kedatangan Sheikh Tamim di Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik.

Perdana Menteri Syria Mohammed Al-Bashir; Menteri Luar Asaad Al-Shaibani dan Menteri Pertahanan Murhaf Abu Qasra turut hadir menyambut kedatangan Sheikh Tamim.

Qatar menyokong pasukan pembangkang Syria semasa perang saudara negara itu yang berlangsung selama 13 tahun sebelum Assad melarikan diri dari Damsyik ke Mosko pada awal Disember.

Kunjungan Sheikh Tamim menandakan pemulihan penting hubungan Qatar-Syria, dengan Qatar dijangka memainkan peranan utama dalam pembinaan semula, menurut agensi berita Qatar.

Penganalisis politik dan pengarang Khaled Walid Mahmoud memberitahu agensi berita QNA, lawatan Sheikh Tamim "sangat simbolik dan penting secara sejarah, menjadi yang pertama oleh pemimpin Arab sejak kejatuhan rejim terdahulu."

Lawatan itu boleh membuka semula saluran diplomatik dan menyokong penyelesaian politik yang mampan di Damsyik, menonjolkan hubungan erat Qatar dengan Amerika dan Turki serta peranannya sebagai perantara yang dipercayai di Syria dan Timur Tengah, tambahnya.

Qatar akan memainkan peranan penting dalam pembinaan semula Syria, terutamanya dalam sektor-sektor utama seperti tenaga, pengangkutan dan perumahan yang telah musnah akibat perang saudara.

Ahmed Qassim Hussein, seorang penyelidik di Pusat Penyelidikan dan Kajian Dasar Arab, memberitahu QNA, lawatan amir itu menandakan peranan Qatar yang berkembang dalam bidang politik, ekonomi dan keselamatan Syria.

Sokongan Qatar terhadap kepimpinan baharu Syria yang diketuai oleh Al-Sharaa, yang dahulunya seorang pemberontak, jelas melalui keputusan negara itu untuk membuka semula kedutaan di Damsyik selepas ia ditutup pada tahun 2011.

Beliau berkata: "(Lawatan ini) mencerminkan komitmen Qatar untuk memulihkan hubungan diplomatik dan menggalakkan kerjasama dengan Syria," sambil menambah bahawa Doha membimbing kepimpinan Syria dalam menghadapi fasa peralihan negara itu dan menggalakkan kestabilan jangka panjang.
Sumber : AGENCIES/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan