Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Amerika umum bantuan lebih AS$300 juta untuk rakyat Palestin di Gaza, Tebing Barat

Amerika Syarikat pada Isnin (30 Sep) mengumumkan bantuan kemanusiaan tambahan sebanyak AS$336 juta (S$431.5 juta) untuk rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat, menurut kenyataan oleh Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USDAID), seperti yang dilihat oleh Reuters.

Anggaran Waktu Membaca:
WASHINGTON: Amerika Syarikat pada Isnin (30 Sep) mengumumkan bantuan kemanusiaan tambahan sebanyak AS$336 juta (S$431.5 juta) untuk rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat, menurut kenyataan oleh Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USDAID), seperti yang dilihat oleh Reuters.

Pembiayaan dana itu, yang pertama kali dilaporkan oleh Reuters, akan membolehkan rakan-rakan kongsi USAID untuk terus menghulurkan bantuan kemanusiaan, termasuk bantuan makanan, jagaan kesihatan, pemakanan dan perkhidmatan lain, menurut kenyataan tersebut.

Pembiayaan dana itu juga akan menyokong bantuan perlindungan kecemasan kepada para penduduk Gaza yang kehilangan tempat tinggal menjelang musim sejuk, dedah kenyataan itu selanjutnya.

“Sepanjang tahun lalu, konflik ini telah mengorbankan nyawa rakyat Palestin dan Israel yang tidak bersalah dan telah menimpakan krisis kemanusiaan ke atas Gaza dan Tebing Barat dan bantuan kemanusiaan amat diperlukan,” menurut kenyataan itu.

"Amerika Syarikat akan terus menyeru semua pihak supaya menyetujui perjanjian gencatan senjata dan pembebasan serta-merta tebusan, dan membolehkan bantuan kemanusiaan dihantar ke seluruh Gaza."

Jurucakap USAID berkata bahawa rakan-rakan agensi itu akan terus membantu para penduduk di Gaza, tetapi menegaskan bahawa "halangan untuk mengakses dan ketidakamanan menghalang penghantaran bantuan yang diperlukan untuk memenuhi keperluan 2.3 juta penduduk yang memerlukan bantuan kemanusiaan segera di Gaza."

Agensi itu juga akan terus bekerjasama dengan rakan-rakan kongsinya untuk menyelesaikan isu-isu yang memberi kesan kepada keupayaan untuk menghulurkan bantuan kepada masyarakat-masyarakat yang memerlukan, kata jurucakap itu.
Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan