Amerika tuduh Iran rancang bunuh Duta Israel di Mexico
Penunjuk perasaan memegang poster Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dan bendera Iran semasa perhimpunan tahunan di hadapan bekas Kedutaan A.S. di Tehran, meraikan ulang tahun pengambilalihan kedutaan, Iran pada 1979, Selasa, 4 November 2025. (Gambar: AP Photo/Vahid Salemi)
Israel menyatakan bahawa pihak berkuasa Mexico telah campur tangan untuk menghentikan percubaan membunuh Duta Israel Einat Kranz-Neiger.
"Kami mengucapkan terima kasih kepada perkhidmatan keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang di Mexico kerana menggagalkan rangkaian pengganas yang diarahkan oleh Iran yang cuba menyerang Duta Israel di Mexico," menurut kenyataan daripada Kementerian Luar Israel.
Seorang pegawai Amerika berkata bahawa pasukan elit Qud dari Pengawal Revolusi melancarkan pakatan itu pada akhir 2024 dan ia digagalkan tahun ini.
Rancangan itu dipercayai termasuk merekrut ejen luar dari Kedutaan Iran di Venezuela, dengan presidennya yang berhaluan kiri, Nicolas Maduro, mempunyai pakatan taktikal dengan Tehran.
"Pakatan itu telah dikawal dan tidak menimbulkan ancaman," kata pegawai Amerika itu dengan syarat tidak mahu namanya didedahkan.
"Ini hanyalah yang terbaharu dalam sejarah panjang global Iran terhadap diplomat, wartawan, pembangkang dan sesiapa sahaja yang tidak bersetuju dengan mereka, sesuatu yang sepatutnya sangat membimbangkan setiap negara yang mempunyai kehadiran Iran."
Pegawai Amerika itu tidak pula memberikan bukti terperinci atau menyatakan bagaimana pakatan itu digagalkan.
Duta Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) enggan mengulas. Tiada komen segera daripada Mexico.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.