Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Amerika tubuh pasukan bertindak siasat cubaan bunuh Trump

Anggaran Waktu Membaca:
WASHINGTON: Dewan Perwakilan Amerika Syarikat akan menubuhkan sebuah pasukan bertindak pada minggu depan untuk menyiasat percubaan membunuh mantan Presiden Donald Trump pada perhimpunan hujung minggu lalu, umum Speaker Dewan Perwakilan Mike Johnson pada Rabu (17 Jul).

Para Anggota Dewan dan Senat sedang bersiap untuk taklimat berasingan dengan pegawai kanan Perkhidmatan Rahsia dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI), termasuk Pengarah FBI Christopher Wray.

Tembakan itu mencederakan Encik Trump di telinga, membunuh seorang peserta perhimpunan dan mencederakan dua yang lain, di samping menimbulkan kebimbangan terhadap kegagalan Perkhidmatan Rahsia Amerika.

"Kami akan melakukannya dengan sedemikian rupa kerana cara ini lebih pantas, tidak banyak halangan prosedur, dan kami akan mempunyai kuasa sepina untuk pasukan bertindak itu juga," menurut anggota kanan Republican itu kepada Fox News.

"Ia akan terdiri daripada para anggota Republican dan Democrat untuk saling menyelesaikan perkara ini dengan pantas supaya rakyat Amerika boleh mendapatkan jawapan yang sewajarnya," katanya.

Pejabat Encik Johnson bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut.

Encik Johnson adalah antara anggota Republican yang menggesa agar Pengarah Perkhidmatan Rahsia Kimberly Cheatle digugurkan, yang akan memberi keterangan minggu depan dalam perbicaraan berasingan di hadapan Jawatankuasa Pengawasan dan Keselamatan Dalam Negeri.

Percubaan membunuh Encik Trump pada Sabtu lalu telah menimbulkan kebimbangan tentang bagaimana suspek, iaitu Thomas Matthew Crooks, seorang pembantu rumah jagaan berusia 20 tahun boleh mengakses bahagian bumbung bangunan dengan garis penglihatan yang jelas ke arah di mana Encik Trump sedang berucap.

Perkhidmatan Rahsia bertanggungjawab melindungi presiden, mantan presiden dan calon presiden serta keluarga mereka.
Sumber : Reuters/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan