Skip to main content

Dunia

Amerika tidak 'curi minyak Venezuela', tegas Setiausaha Tenaga Chris Wright

Setiausaha Tenaga Amerika Syarikat Chris Wright pada Rabu (2 Sep) menolak tuduhan bahawa Washington "mencuri minyak Venezuela" selepas negara Amerika Selatan itu memberi negara jirannya di utara akses kepada sebahagian besar daripada sumber aslinya.

Anggaran Waktu Membaca:
Amerika tidak 'curi minyak Venezuela', tegas Setiausaha Tenaga Chris Wright

Setiausaha Tenaga Amerika Syarikat Chris Wright bercakap kepada media selepas pemeteraian perjanjian minyak dengan Venezuela di Istana Presiden Miraflores di Caracas pada 2 September 2026. (Gambar: AFP/Juan Barreto)

Diterbitkan : 03 Sep 2026 12:37PM
CARACAS: Setiausaha Tenaga Amerika Syarikat Chris Wright pada Rabu (2 Sep) menolak tuduhan bahawa Washington "mencuri minyak Venezuela" selepas negara Amerika Selatan itu memberi negara jirannya di utara akses kepada sebahagian besar daripada sumber aslinya.

Encik Wright, yang melakukan lawatan ke Venezuela untuk menyaksikan pemeteraian beberapa perjanjian tenaga bernilai berbilion dolar, cuba menepis kritikan tersebut dalam kenyataannya kepada AFP dan media lain di lapangan terbang Caracas.

Amerika dijangka memperoleh kawalan majoriti ke atas lebih 65 bilion tong minyak, atau hampir 20 peratus, di Venezuela, yang mempunyai rizab minyak terbukti terbesar di dunia.

Caracas mengunjurkan pendapatan sebanyak AS$209 bilion (S$265.5 bilion) sepanjang 25 tahun menerusi perjanjian tersebut.

"Saya sudah melihat tajuk-tajuk berita itu. 'Kami mencuri minyak Venezuela.' Sudah tentu, itu tidak benar sama sekali," kata Encik Wright, sambil menambah bahawa "minyak di Venezuela sememangnya milik rakyat Venezuela".

"Syarikat-syarikat swasta menyediakan dana untuk menghasilkan minyak tersebut, tetapi manfaat, royalti dan cukai semuanya disalurkan kepada pemerintah Venezuela dan rakyat Venezuela," kata beliau.

"Apa yang kami lakukan hanyalah memanfaatkan aset bawah tanah yang terbiar dan tidak memberikan sebarang manfaat kepada rakyat Venezuela, dengan membawa masuk dana serta teknologi untuk membangunkannya."

Encik Wright turut menekankan pentingnya membaik pulih sektor elektrik Venezuela, sedang sebahagian besar negara tersebut mengalami gangguan bekalan elektrik selama berjam-jam setiap hari.

Sektor minyak juga memerlukan bekalan elektrik untuk beroperasi, tambah beliau.

"Anda memerlukan kedua-duanya," kata Encik Wright. Beliau optimis kerana Venezuela mempunyai "prasarana (elektrik) sedia ada" yang dipercayai boleh digunakan semula di bawah satu pelan lima tahun.

PILIHAN RAYA SEBAGAI SATU "PROSES"

Presiden Amerika Donald Trump menyifatkan perjanjian yang diumumkan pada Jumaat itu sebagai "perjanjian minyak terbesar dalam sejarah dunia".

Pada awal Rabu, Encik Trump menolak gesaan supaya pilihan raya diadakan di Venezuela, di tengah-tengah harapan tinggi bahawa rundingan yang disokong Washington antara pemerintah sementara dengan sebahagian pihak pembangkang boleh membawa kepada pilihan raya demokratik.

"Saya rasa mereka belum bersedia lagi. Anda tahu, ini masih sangat baharu. Kami membebaskan mereka daripada pemerintahan diktator, dan hubungan kami dengan pemerintah sangat baik," kata beliau.

Tentera Amerika menggulingkan Presiden Venezuela Nicolas Maduro pada Januari, dan mantan Naib Presidennya Delcy Rodriguez mentadbir negara tersebut buat sementara waktu sejak itu.

Cik Rodriguez, yang memerintah di bawah pengaruh Encik Trump, turut berkata pilihan raya akan diadakan apabila "Venezuela sudah bersedia".

Encik Wright cuba menjelaskan bahawa pilihan raya merupakan satu "proses", sambil menegaskan bahawa pembaharuan, termasuk rombakan Mahkamah Agung Venezuela, perlu dilakukan terlebih dahulu.

"Rancangan untuk mengadakan pilihan raya tidak berubah sama sekali. Usaha akan diteruskan untuk memastikan prasarana yang diperlukan tersedia dan pilihan raya akan diadakan pada masa yang sesuai," kata beliau.

Setiausaha itu berkata negara tersebut dan ekonominya perlu distabilkan sebelum pilihan raya dapat diadakan.

"Anda tidak mahu hanya menunggu dan berpeluk tubuh sepanjang tempoh yang diperlukan sebelum pilihan raya dapat diadakan," kata Encik Wright.
Sumber : AFP/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita