Skip to main content

Dunia

Amerika tarik balik sekatan terhadap Syria susuli pertemuan Trump-Ahmed al-Sharaa di Rumah Putih

Amerika Syarikat secara rasmi menggantung pelaksanaan Akta Caesar terhadap Syria selama 180 hari menyusuli pertemuan bersejarah antara Presiden Donald Trump dan Presiden Syria Ahmed al-Sharaa di Rumah Putih pada Isnin (10 Nov).
Anggaran Waktu Membaca:
Amerika tarik balik sekatan terhadap Syria susuli pertemuan Trump-Ahmed al-Sharaa di Rumah Putih
Presiden Donald Trump (kiri) berjabat tangan dengan Presiden Syria, Ahmad al-Sharaa, di Rumah Putih, Washington. (Gambar: AP)
WASHINGTON: Amerika Syarikat secara rasmi menggantung pelaksanaan Akta Caesar terhadap Syria selama 180 hari menyusuli pertemuan bersejarah antara Presiden Donald Trump dan Presiden Syria Ahmed al-Sharaa di Rumah Putih pada Isnin (10 Nov).

Langkah itu menandakan perubahan dramatik dalam hubungan dua hala yang sebelum ini tegang sejak lebih sedekad lalu.

Dalam kenyataan langsung dari Rumah Putih, Encik Trump berkata dunia harus menjangkakan “beberapa pengumuman mengenai Syria” selepas pertemuan tersebut.

“Kami mahu Syria menjadi sebuah negara yang sangat berjaya, dan kami percaya pemimpin ini mampu melakukannya,” kata beliau kepada para wartawan.

Encik Trump turut menyatakan bahawa hubungan baik Encik Ahmed al-Sharaa dengan Presiden Turki Recep Tayyip Erdoğan sebagai faktor positif dalam usaha damai serantau.

“Beliau sangat serasi dengan Turki, dengan Presiden Erdoğan… Kami juga sedang bekerjasama dengan Israel untuk menjalin hubungan baik dengan Syria,” tambahnya.

Encik Ahmed al-Sharaa mengambil alih kuasa pada Disember lalu selepas mengetuai serangan balas pantas yang menumbangkan mantan Presiden Bashar al-Assad.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua negara bersetuju untuk mengintegrasikan Pasukan Demokratik Syria (SDF) yang diketuai Kurdi ke dalam tentera Syria, serta menyokong pelan keselamatan bersama dengan Israel.

Jabatan Perbendaharaan Amerika menyatakan bahawa penggantungan sekatan ini bertujuan untuk memberi peluang kepada Syria “membangun semula dan berkembang” sambil memastikan kebertanggungjawapan terhadap pelaku yang merosakkan kestabilan serantau.
Sumber : Agensi berita/AW/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita