Skip to main content

Dunia

Amerika Syarikat setuju adakan rundingan lanjut dengan Malaysia berkaitan tarif Trump

Pemerintah Amerika Syarikat bersetuju untuk berunding lebih lanjut dengan Malaysia mengenai tarif yang dikenakan ke atas negara ini, kata Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim.

Anggaran Waktu Membaca:
Amerika Syarikat setuju adakan rundingan lanjut dengan Malaysia berkaitan tarif Trump

Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim, menyampaikan ucapan semasa merasmikan Persidangan Pelaburan ASEAN di Kuala Lumpur, Malaysia, pada 8 Apr 2025. (Gambar fail: REUTERS/Hasnoor Hussain)

KUALA LUMPUR: Pemerintah Amerika Syarikat bersetuju untuk berunding lebih lanjut dengan Malaysia mengenai tarif yang dikenakan ke atas negara ini, kata Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim.

Walaupun perbincangan itu masih di peringkat awal, Encik Anwar yakin terdapat kemungkinan Amerika Syarikat akan mengurangkan kadar tarif yang dikenakan ke atas negara itu.

"Sekali lagi ditegaskan bahawa proses ini masih berada di peringkat awal, tanpa sebarang persetujuan dimuktamadkan oleh kedua-dua pihak.

"(Pada masa sama) tiada sebarang komitmen muktamad telah dibuat oleh Malaysia mahupun pihak Amerika," katanya di sesi Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada Isnin (5 Mei).

PM Anwar yang juga Menteri Kewangan Malaysia turut menegaskan segala perbincangan yang sedang dilaksanakan adalah tertakluk di bawah perjanjian kerahsiaan (NDA), selaras dengan amalan antarabangsa apabila isu rundingan melibatkan kepentingan strategik dan sensitif.

“Sekiranya ada cadangan dasar yang memerlukan kelulusan, ia akan melalui proses semakan menyeluruh, termasuk di peringkat Kabinet dan jika perlu, dibentangkan kepada Parlimen,” kata Encik Anwar.

Pada 24 April lalu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz telah mengetuai delegasi peringkat tinggi Malaysia ke Washington untuk mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat Howard Lutnick dan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat Jamieson Greer.

Dalam pertemuan itu, Tengku Zafrul menekankan mengenai kepentingan untuk mengadakan perbincangan secara berterusan selain mengulangi kesediaan Malaysia bagi mengenal pasti jalan penyelesaian secara membina terhadap kebimbangan yang disuarakan Amerika Syarikat.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita