Skip to main content

Dunia

Amerika Syarikat kenakan sekatan baharu sasarkan pengimport minyak Iran dari China

Amerika Syarikat pada Rabu (16 Apr) mengumumkan sekatan baharu yang menyasarkan eksport minyak Iran, termasuk terhadap sebuah loji penapisan minyak persendirian kecil, yang berpangkalan di China.

Anggaran Waktu Membaca:
Amerika Syarikat kenakan sekatan baharu sasarkan pengimport minyak Iran dari China

Ilustrasi yang menunjukkan model miniatur jentera penggerudi minyak berlatarbelakangkan bendera Iran. (Gambar fail: REUTERS/Dado Ruvic)

WASHINGTON: Amerika Syarikat pada Rabu (16 Apr) mengumumkan sekatan baharu yang menyasarkan eksport minyak Iran, termasuk terhadap sebuah loji penapisan minyak persendirian kecil, yang berpangkalan di China.

Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha pentadbiran Presiden Donald Trump untuk meningkatkan tekanan ke atas Tehran.

Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat mendedahkan dalam satu kenyataan bahawa tindakan itu bertujuan untuk meningkatkan tekanan ke atas pengimport China bagi minyak Iran, selaras dengan usaha Encik Trump menghidupkan semula kempen “tekanan maksimum” terhadap Iran, termasuk usaha untuk mengurangkan eksport minyak negara itu ke tahap sifar.

Langkah tersebut diumumkan sedang pentadbiran Encik Trump memulakan semula rundingan dengan Iran berhubung program nuklearnya bulan ini, dengan pusingan pertama berlangsung di Oman hujung minggu lalu dan pusingan kedua dijangka diadakan di Rome hujung minggu ini.

Pada Rabu, Jabatan Perbendaharaan tersebut mengumumkan sekatan terhadap sebuah loji penapisan pensendirian yang kecil di China yang dituduh terlibat dalam pembelian minyak mentah Iran bernilai lebih AS$1 bilion (S$1.31 bilion).

Ia merupakan loji persendirian kecil kedua dari China yang dikenakan sekatan oleh pentadbiran Encik Trump setakat ini.

Amerika Syarikat sebelum ini jarang menyasarkan loji penapisan pensendirian yang kecil di China kerana syarikat-syarikat tersebut kurang terdedah kepada sistem kewangan Amerika.

Syarikat minyak milik negara China pula telah menghentikan pembelian minyak mentah Iran ekoran kebimbangan berkaitan sekatan.

Washington turut mengenakan sekatan tambahan ke atas beberapa syarikat dan kapal yang didakwa terlibat dalam memudahkan penghantaran minyak Iran ke China sebagai sebahagian daripada “armada bayangan” Iran.

Wakil Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York dan kedutaan China di Washington tidak memberikan respons segera terhadap permintaan untuk mengulas.

China tidak mengiktiraf sekatan Amerika Syarikat dan merupakan pengimport terbesar minyak Iran.

China dan Iran telah membangunkan sistem perdagangan yang banyak menggunakan yuan China serta rangkaian orang tengah, bagi mengelakkan penggunaan dolar dan pengawasan daripada pengawal selia Amerika Syarikat.

“Mana-mana loji penapisan, syarikat atau broker yang memilih untuk membeli minyak Iran atau memudahkan perdagangan minyak Iran meletakkan diri mereka dalam risiko yang serius,” kata Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent dalam kenyataan itu.

“Amerika Syarikat komited untuk mengganggu semua pihak yang memberi sokongan kepada rantaian bekalan minyak Iran, yang digunakan rejim tersebut untuk menyokong proksi dan sekutu pengganasnya.”

PANDUAN PENGHANTARAN BAGI PIHAK BERKEPENTINGAN

Pihak perbendaharaan tersebut pada Rabu turut mengemas kini panduan bagi pihak berkepentingan dalam sektor penghantaran dan maritim berhubung “pengesanan dan pengurangan kegiatan mengelak sekatan minyak Iran,” sambil memberi amaran, antara lain, bahawa Iran bergantung kepada armada bayangan yang besar untuk menyembunyikan penghantaran minyaknya.

Perbendaharaan tersebut menyatakan bahawa ini merupakan pusingan keenam bagi sekatan yang menyasarkan penjualan minyak Iran sejak Presiden Trump memulakan semula kempen “tekanan maksimum” terhadap Iran, yang merangkumi usaha untuk mengurangkan eksport minyak negara itu ke tahap sifar bagi mencegah Tehran daripada membangunkan senjata nuklear.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita