Skip to main content

Dunia

Amerika Syarikat gantung semua permohonan imigresen dari 19 negara bukan Eropah

Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Selasa (2 Dis) menyatakan ia menggantung semua permohonan imigresen, termasuk pemprosesan kad hijau dan kewarganegaraan Amerika, yang difailkan oleh pendatang asing dari 19 negara bukan Eropah, menukil keprihatinan terhadap keselamatan negara dan awam.
Anggaran Waktu Membaca:
Amerika Syarikat gantung semua permohonan imigresen dari 19 negara bukan Eropah
Bendera Amerika Syarikat kelihatan pada beg seorang calon warganegara di New York City, Amerika Syarikat, pada 14 Jun 2023. (Gambar fail: REUTERS/Shannon Stapleton)
WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Selasa (2 Dis) menyatakan ia menggantung semua permohonan imigresen, termasuk pemprosesan kad hijau dan kewarganegaraan Amerika, yang difailkan oleh pendatang asing dari 19 negara bukan Eropah, menukil keprihatinan terhadap keselamatan negara dan awam.

Penggantungan itu tertakluk kepada rakyat daripada 19 negara yang sudah pun dikenakan sekatan perjalanan separa pada Jun lalu, sekaligus meningkatkan lagi sekatan terhadap imigresen, yang merupakan ciri utama wadah politik Encik Trump.

Senarai negara itu termasuk Afghanistan dan Somalia.

Memorandum rasmi yang menggariskan dasar baharu itu menukil serangan terhadap anggota Pengawal Negara Amerika Syarikat di Washington pada minggu lalu, di mana seorang lelaki warga Afghanistan diberkas sebagai suspek.

Seorang anggota Pengawal Negara terbunuh dan seorang lagi cedera parah dalam serangan itu.

Encik Trump juga meningkatkan retoriknya terhadap warga Somalia dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini, sambil menggelarkan mereka "sampah" dan berkata "kami tidak mahu mereka berada di negara kita".

Sejak kembali ke Rumah Putih pada Januari lalu, Encik Trump secara agresif mengutamakan penguatkuasaan imigresen, mengerahkan ejen-ejen persekutuan ke bandar-bandar utama Amerika dan mengusir pemohon suaka di sempadan Amerika-Mexico.

Pentadbirannya juga sering menekankan desakan pengusiran tetapi sehingga kini ia kurang memberi penekanan kepada usaha untuk membentuk semula imigresen yang sah.

Senarai negara yang disasarkan dalam memorandum pada Rabu termasuk Afghanistan, Burma, Chad, Republik Congo, Guinea Khatulistiwa, Eritrea, Haiti, Iran, Libya, Somalia, Sudan dan Yaman yang tertakluk kepada sekatan imigresen paling tegas pada Jun lalu, termasuk penggantungan sepenuhnya bagi kemasukan dengan beberapa pengecualian diberikan.

Negara-negara lain dalam senarai 19 negara itu yang tertakluk kepada sekatan perjalanan separa pada Jun adalah Burundi, Cuba, Laos, Sierra Leone, Togo, Turkmenistan dan Venezuela.
Sumber : Reuters/HA/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita