Amerika Syarikat dilanda kemasukan ribuan kanak-kanak pendatang asing dari Mexico
Pentadbiran presiden Amerika Syarikat Encik Donald Trump meminta Jabatan Pertahanan negara (DoD) itu untuk bersiap sedia menerima kemasukan sekitar 5,000 kanak-kanak pendatang asing yang terpisah daripada ibu bapa mereka.
WASHINGTON: Pentadbiran presiden Amerika Syarikat Encik Donald Trump meminta Jabatan Pertahanan negara (DoD) itu untuk bersiap sedia menerima kemasukan sekitar 5,000 kanak-kanak pendatang asing yang terpisah daripada ibu bapa mereka ke negara itu di tengah-tengah "krisis" yang sedang berlaku di sempadan Amerika Syarikat-Mexico, menurut kenyataan Pentagon pada hari Khamis (7 Mac) .
Jurucakap Pentagon, Leftenan Kolonel Jamie Davis berkata: "Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia (HHS) meminta sokongan DoD untuk mengenal pasti ruang bagi menempatkan sekitar 5,000 kanak-kanak pendatang asing yang terpisah daripada ibu bapa mereka, jika diperlukan, sehingga 30 September 2019.
DoD akan bekerjasama dengan perkhidmatan ketenteraan untuk mengenal pasti tempat-tempat yang berpotensi untuk sokongan sedemikian, dan akan bekerjasama dengan HHS untuk menilai sebarang kemudahan DoD atau tanah DoD yang sesuai digunakan untuk memberikan perlindungan sementara bagi kanak-kanak pendatang asing yang terpisah daripada ibu bapa mereka."
Menurut Agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) negara itu, jumlah kanak-kanak di bawah umur yang ditangkap masuk negara itu secara haram pada bulan Februari mencecah 6,825, naik dari 5,119 pada bulan Januari dan 4,968 pada bulan Oktober.
CBP menyerahkan kanak-kanak itu kepada HHS yang berusaha untuk menempatkan mereka dengan saudara-mara atau keluarga mereka yang tinggal di Amerika Syarikat sementara menanti permohonan mereka untuk menetap di negara itu diproses, yang boleh mengambil masa dua tahun.
Menurut Pesuruhjaya CBP Encik Kevin McAleena, jumlah pendatang haram pada bulan Februari melonjak ke tahap yang tertinggi sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan 76,000 orang yang ditahan atau diberkas, membebankan kemudahan-kemudahan pemerintah.
Encik McAleena berkata: "Kami sedang menghadapi krisis kemanusiaan dan keselamatan negara sepanjang sempadan barat daya kami.
Lonjakan besar bagi jumlah keluarga dan kanak-kanak yang merentasi sempadan kami, dalam kumpulan-kumpulan lebih besar dan di kawasan-kawasan lebih terpencil memberikan satu cabaran unik kepada operasi-operasi dan kemudahan-kemudahan kami, serta rakan-rakan kami."
Pada hari Rabu (6 Mac), Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat, Cik Kirstjen Nielsen berkata bahawa mereka menjangkakan jumlah itu akan meningkat pada bulan-bulan mendatang.
Namun demikian, beliau juga berkata dalam kebanyakan kes, kanak-kanak itu digunakan sebagai "alat" untuk memasuki negara itu, malah "dikitar semula" oleh kumpulan-kumpulan penyeludup untuk membantu beberapa sindiket penyeludup manusia menyeberangi sempadan dan menetap di negara itu.
Cik Nielsen berkata bahawa dia bersimpati dengan para pendatang itu tetapi menegaskan seperti mana yang diumumkan oleh Encik Trump bulan lepas, "Ia adalah keadaan darurat."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.