Skip to main content

Dunia

Amerika Syarikat beri tekanan kepada Majlis PBB agar sokong pelan damai Trump

Anggaran Waktu Membaca:
Amerika Syarikat beri tekanan kepada Majlis PBB agar sokong pelan damai Trump
Orang ramai di Nuseirat, tengah Gaza, 28 Okt 2025. (Gambar fail: Reuters/Mahmoud Issa)
Diterbitkan : 14 Nov 2025 08:55AM Dikemas Kini : 14 Nov 2025 08:56AM
NEW YORK: Amerika Syarikat pada Khamis (13 Nov) menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk bersatu dan menyokong draf ketetapannya yang bertujuan mengukuhkan pelan damai Presiden Donald Trump untuk Gaza, dengan memberi amaran bahawa jika ia tidak dilaksanakan, rakyat Palestin mungkin mengalami akibat yang "teruk".

"Percubaan untuk mencetuskan perpecahan sekarang - apabila persetujuan mengenai ketetapan ini sedang dalam rundingan aktif - mempunyai kesan yang serius, ketara, dan boleh dielakkan sepenuhnya bagi rakyat Palestin di Gaza," kata jurucakap misi Amerika Syarikat ke PBB dalam satu kenyataan.

"Gencatan senjata ini rapuh dan kami menggesa (Majlis Keselamatan) untuk bersatu dan bergerak ke hadapan bagi menjamin keamanan yang sangat diperlukan," kata jurucakap itu, sambil menyifatkan ini sebagai "detik bersejarah untuk membuka laluan ke arah keamanan berkekalan di Timur Tengah".

Pada minggu lalu, pegawai Amerika Syarikat melancarkan rundingan di dalam majlis mengenai draf yang akan menyusuli gencatan senjata dalam perang dua tahun antara Israel dan Hamas serta menyokong rancangan Encik Trump.

Draf ketetapan ketiga yang dilihat oleh AFP pada Khamis "mengalu-alukan penubuhan Lembaga Keamanan", iaitu badan pentadbiran sementara untuk Gaza, yang secara teorinya akan dipengerusikan oleh Encik Trump, dengan mandat sehingga akhir 2027.

Ia akan memberi kuasa kepada negara anggota untuk membentuk "Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) sementara" yang akan bekerjasama dengan Israel dan Mesir serta polis Palestin yang baru dilatih untuk membantu menjamin keselamatan di kawasan sempadan dan melucutkan senjata di Carikan Gaza.

ISF juga akan berusaha dalam "pelucutan senjata berkekalan daripada kumpulan bersenjata bukan negara", melindungi orang awam, dan menjamin koridor bantuan kemanusiaan.

Berbeza dengan draf sebelum ini, draf terkini menyebut kemungkinan adanya negara Palestin pada masa depan.

Draf itu menyatakan, setelah Penguasa Palestin melaksanakan pembaharuan yang diminta dan pembinaan semula Gaza sedang dijalankan, "syarat-syarat mungkin akhirnya disediakan untuk laluan yang diyakini ke arah usaha menjadikan Palestin sebagai sebuah negara."

"Amerika Syarikat akan mewujudkan dialog antara Israel dengan Palestin untuk bersetuju mengenai wawasan politik bagi kewujudan bersama secara aman dan makmur," tambahnya.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, pada Rabu menyatakan beliau bersifat optimis bahawa ketetapan itu akan diterima.

"Saya rasa kami menunjukkan kemajuan yang baik bagi ketetapan itu dan berharap kami akan ada tindakan terhadapnya tidak lama lagi," katanya kepada wartawan di Kanada.

Namun, walaupun anggota majlis nampaknya menyokong penubuhan Lembaga Keamanan secara prinsip, para diplomat memberitahu AFP bahawa timbul persoalan mengenai draf tersebut.

Isu-isu itu termasuk ketiadaan sebarang sebutan mengenai mekanisme penyeliaan daripada Majlis Keselamatan dalam teks itu, peranan masa depan Penguasa Palestin, dan butiran mengenai mandat ISF.
Sumber : AFP/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita