Amerika Syarikat akan terus kekalkan, perkukuh penghalang nuklear moden
WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio pada Jumaat (6 Feb) berikrar negara itu akan mengekalkan keupayaan penghalang nuklear yang boleh dipercayai dan moden susulan tamatnya tempoh Perjanjian Pengurangan Senjata Strategik Baharu (New START), lapor Xinhua.
Beliau mendakwa Rusia gagal mematuhi New START, iaitu perjanjian kawalan senjata nuklear terakhir antara Amerika dan Rusia yang tamat tempoh pada Khamis (5 Feb).
Encik Rubio menegaskan Amerika akan berunding dari kedudukan yang teguh dan mengekalkan penghalang nuklear yang moden, sambil pada masa yang sama berusaha mengurangkan ancaman nuklear global.
"Kami memahami bahawa proses ini memakan masa. Perjanjian terdahulu, termasuk New START, mengambil masa bertahun-tahun untuk dirundingkan dan dibina berasaskan duluan berpuluh tahun lamanya," katanya, yang memberi gambaran bahawa lompang strategik itu mungkin berlarutan bagi tempoh yang lama.
Sementara itu, jurucakap Kremlin Dmitry Peskov pada Jumaat (6 Feb) berkata Rusia dan Amerika Syarikat mengiktiraf keperluan untuk memulakan rundingan mengenai New START secepat mungkin.
Sebagai dua kuasa nuklear terbesar dunia, Amerika dengan Rusia secara bersama memiliki kira-kira 87 peratus daripada keseluruhan senjata nuklear global.
Susulan tamatnya New START, buat kali pertama dalam tempoh lebih separuh abad, dunia kini memasuki fasa di mana pasukan nuklear strategik Amerika-Rusia tidak lagi tertakluk kepada sebarang had yang mengikat, pemeriksaan mahupun ketelusan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.