Amerika Syarikat akan 'tadbir' Venezuela sehingga peralihan 'selamat': Trump
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Sabtu (3 Jan) berkata Amerika akan “mentadbir” Venezuela sehingga “peralihan yang selamat, wajar dan berhemah dapat dilaksanakan” menyusuli penangkapan Presiden Nicolas Maduro dan isterinya.
Dalam sidang media yang memperincikan penangkapan tersebut, presiden Amerika Syarikat berkata bahawa di tengah-tengah kekosongan kuasa, Washington tidak mahu situasi berlaku di mana individu lain mengambil alih hanya untuk mengulangi “keadaan yang sama untuk tempoh bertahun-tahun”.
Encik Trump menyifatkan operasi menangkap Encik Maduro dan isterinya sebagai “serangan yang tidak pernah dilihat sejak Perang Dunia Kedua”, sambil memuji ia sebagai “antara paparan kuasa, kekuatan dan kecekapan Amerika yang paling menakjubkan dan berkesan” dalam sejarah.
Membandingkan serangan itu dengan Operasi Midnight Hammer yang memusnahkan kemudahan nuklear Iran pada Julai lalu, serta pembunuhan Jeneral Iran Qasem Soleimani pada 2020, Encik Trump berkata semua keupayaan ketenteraan Venezuela sudah “dilumpuhkan sepenuhnya”.
Operasi tersebut, yang melibatkan angkatan udara, darat dan laut Amerika Syarikat, berjaya dilaksanakan tanpa sebarang korban dalam kalangan tentera Amerika dan tanpa kehilangan peralatan, tambahnya.
Encik Trump mengesahkan bahawa Encik Maduro dan isterinya, Cilia Flores, akan berdepan tuduhan berkaitan dadah dan keganasan narkotik di New York, selepas beliau sebelum itu memuat naik gambar Encik Maduro di atas kapal perang USS Iwo Jima di platform Truth Social miliknya.
Pentadbiran Encik Trump sebelum ini menyatakan bahawa pasangan itu akan berdepan “sepenuh-penuh tindakan undang-undang Amerika” di bawah tuduhan dadah dan keganasan.
“Nicolas Maduro dan isterinya, Cilia Flores, telah didakwa di Daerah Selatan New York,” tulis Peguam Negara Pamela Bondi dalam catatannya di X.
Dalam sidang medianya, Encik Trump menyalahkan Maduro kerana menjalankan “kempen keganasan, ketakutan dan subversi yang berterusan” terhadap Amerika Syarikat, sambil menyatakan bahawa tindakan itu berlanjutan bertahun-tahun selepas penggalnya sebagai presiden didakwa sudah “tamat”.
Ini bukan sahaja mengancam rakyat Amerika, malah kestabilan seluruh rantau, katanya.
Beliau menambah bahawa keadaan itu diburukkan lagi dengan penyeludupan dadah secara berleluasa yang menyebabkan “penderitaan dan kemusnahan manusia yang tidak terhitung”, khususnya di Amerika Syarikat.
Encik Trump turut menuduh Encik Maduro menghantar anggota kumpulan samseng Venezuela, Tren de Aragua, ke Amerika Syarikat untuk “melakukan pengganasan” terhadap masyarakat di seluruh negara, sambil merujuk bagaimana mereka “mengambil alih” apartmen di wilayah Colorado dan dipercayai terlibat dalam pembunuhan Jocelyn Nungaray yang berusia 12 tahun di Houston pada 2024.
“Maduro tidak akan sekali-kali mampu mengancam seorang warga Amerika lagi,” tambahnya.
Menjelang “serangan berskala besar” ke atas Venezuela pada sebelah malam yang membawa kepada penangkapan Encik Maduro, Amerika Syarikat menuduh bekas pemandu bas itu mengendalikan sebuah “negara narkotik” serta menipu dalam pilihan raya 2024, yang menurut pembangkang negara itu, dimenangi dengan majoriti besar.
Sekatan Amerika Syarikat ke atas semua minyak Venezuela juga kekal berkuat kuasa sepenuhnya, menurut Encik Trump.
Encik Trump memberitahu media bahawa angkatan tentera Amerika Syarikat akan kekal di kedudukannya sehingga semua tuntutannya dipenuhi sepenuhnya.
“Armada Amerika kekal bersiap siaga di kedudukan masing-masing, dan Amerika Syarikat mengekalkan semua pilihan ketenteraan sehingga tuntutan Amerika Syarikat dipenuhi sepenuhnya,” katanya.
Beliau juga memberi amaran bahawa operasi yang berjaya ini seharusnya menjadi peringatan kepada sesiapa yang mengancam kedaulatan rakyat Amerika atau membahayakan nyawa mereka.
Serangan berlaku pada awal pagi Sabtu di ibu negara Caracas serta negeri Miranda, Aragua dan La Guaira, mendorong pemerintah Venezuela mengisytiharkan darurat dan menggesa kuasa sosial serta politik untuk “mengaktifkan pelan mobilisasi”.
Sekurang-kurangnya tujuh letupan dan pesawat terbang rendah kedengaran sekitar pukul 2.00 pagi waktu tempatan (2.00 petang waktu Singapura) pada Sabtu di Caracas, manakala Venezuela secara berasingan menyatakan bahawa ia menolak “keganasan tentera” Amerika Syarikat dan menggesa diadakan mesyuarat tergempar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Caracas turut menyatakan bahawa orang awam dan anggota tentera terbunuh dalam serangan pada Sabtu itu, namun tidak mendedahkan angka korban.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.