Amerika Syarikat akan kurangkan pangkalan tentera di Syria
Amerika Syarikat akan mengurangkan kehadiran tenteranya di Syria daripada lapan pangkalan kepada hanya satu, dan dasar Amerika Syarikat di negara itu akan diubah “kerana tiada satu pun yang berhasil” sepanjang abad lalu, menurut utusan khas baharu Amerika Syarikat.
Seorang askar daripada pasukan pakatan yang diketuai Amerika Syarikat berkawal semasa rondaan bersama antara Amerika Syarikat dan Pasukan Demokratik Syria (SDF) di kawasan luar bandar Qamishli, timur laut Syria, pada 8 Februari 2024. (Gambar: REUTERS/Orhan Qereman)
Encik Thomas Barrack, yang dilantik Presiden Donald Trump sebagai utusan khas bulan lalu, tidak lama selepas beliau secara mengejut menarik balik sekatan Amerika Syarikat ke atas Syria, membuat kenyataan itu dalam satu temu bual dengan penyiar Turki, NTV, lewat malam Isnin (2 Jun).
Tentera Amerika Syarikat mempunyai kira-kira 2,000 anggota tentera di Syria, kebanyakannya di kawasan timur laut. Mereka bekerjasama dengan pasukan tempatan untuk mencegah kebangkitan semula kumpulan ISIS, yang pada 2014 merampas sebahagian besar daripada wilayah Iraq dan Syria sebelum berjaya dipaksa mundur.
Sejak para pemberontak menyingkirkan mantan Presiden Syria, Bashar al-Assad, pada Disember lalu, Amerika Syarikat dan negara-negara lain sudah mula menjalinkan semula hubungan dengan Damsyik di bawah kepimpinan baharu Encik Ahmed al-Sharaa.
Encik Barrack, yang juga merupakan duta Amerika Syarikat ke Turki, mengibarkan bendera Amerika di kediaman rasmi duta di Damsyik minggu lalu buat pertama kali sejak 2012.
Apabila ditanya bagaimana pentadbiran Encik Trump akan membentuk dasar baharunya terhadap Syria dan sama ada Amerika Syarikat akan menarik balik tenteranya, Encik Barrack berkata: “Apa yang boleh saya jamin ialah dasar Syria kita sekarang tidak akan menyerupai dasar Syria sejak 100 tahun lalu, kerana kesemua dasar tersebut tidak berkesan.”
Mengurangkan jumlah pangkalan daripada lapan kepada satu merupakan sebahagian penting daripada perubahan itu, katanya, menurut transkrip temu bual tersebut.
Dua sumber keselamatan di pangkalan yang menempatkan tentera Amerika Syarikat memberitahu Reuters pada April bahawa kelengkapan dan kenderaan ketenteraan telah dipindahkan dari kawasan timur Deir el-Zor dan dikumpulkan semula di wilayah Hasakah.
Salah satu sumber tersebut berkata pelan pengumpulan semula itu melibatkan penarikan semua tentera Amerika Syarikat dari wilayah Deir el-Zor.
Seorang pegawai Jabatan Negara Amerika Syarikat pula memaklumkan secara berasingan bahawa kehadiran tentera akan dikurangkan “jika dan apabila bersesuaian” bergantung kepada keadaan semasa, sambil menambah bahawa jumlah anggota tentera akan disesuaikan secara rutin mengikut keperluan operasi dan situasi.
Kata Encik Barrack, Pasukan Demokratik Syria (SDF) merupakan sekutu Amerika Syarikat dan “faktor yang sangat penting” bagi Kongres Amerika Syarikat, dan mengarahkan mereka untuk bergabung dengan pemerintah Syria yang baharu juga merupakan perkara yang sangat penting.
“Semua pihak perlu bersikap munasabah dalam harapan mereka,” katanya.
SDF merupakan sekutu utama dalam pakatan Amerika Syarikat untuk menentang militan IS di Syria. Ia diterajui militia YPG, yang dianggap Ankara sebagai lanjutan kepada Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang diharamkan. PKK telah mengambil keputusan untuk membubarkan diri bulan lalu berikutan konflik selama 40 tahun dengan pemerintah Turki.
Presiden Turki, Tayyip Erdogan, berkata minggu lalu bahawa SDF menggunakan “taktik untuk melengah-lengahkan”, meskipun telah memetrai perjanjian dengan pemerintah Syria untuk bergabung dalam angkatan tentera negara itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.