Skip to main content

Dunia

Amerika siasat amalan dagang tidak adil, buruh paksa terhadap 60 negara

Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) lewat Khamis (12 Mac) menyatakan ia telah memulakan siasatan terhadap amalan perdagangan tidak adil Seksyen 301 ke atas 60 ekonomi berhubung apa yang disifatkannya sebagai kegagalan mengambil tindakan terhadap buruh paksa.
Anggaran Waktu Membaca:
Amerika siasat amalan dagang tidak adil, buruh paksa terhadap 60 negara
Sebuah kapal kargo yang membawa kontena dilihat di pelabuhan Oakland di California, Amerika Syarikat pada 3 Februari 2025. (Gambar fail: REUTERS/Carlos Barria)
Diterbitkan : 13 Mar 2026 01:57PM
WASHINGTON: Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) lewat Khamis (12 Mac) menyatakan ia telah memulakan siasatan terhadap amalan perdagangan tidak adil Seksyen 301 ke atas 60 ekonomi berhubung apa yang disifatkannya sebagai kegagalan mengambil tindakan terhadap buruh paksa.

Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump sedang berusaha untuk meningkatkan semula tekanan tarif terhadap negara-negara di seluruh dunia selepas Mahkamah Agung Amerika Syarikat membatalkan tarif globalnya yang disifatkan sebagai tidak sah pada 20 Februari.

“Siasatan-siasatan ini akan menentukan sama ada pemerintah asing telah mengambil langkah secukupnya untuk melarang import barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa serta bagaimana kegagalan dalam menghentikan amalan tercela ini memberi kesan kepada para pekerja dan perniagaan Amerika Syarikat,” kata Wakil Perdagangan Amerika Syarikat Jamieson Greer dalam satu kenyataan.

Senarai 60 negara itu merangkumi beberapa rakan dagang utama dan sekutu Amerika Syarikat seperti Australia, Kanada, Kesatuan Eropah (EU), Britain, Israel, India, Qatar dan Arab Saudi. China dan Rusia turut tersenarai.

Encik Trump mengenakan tarif 10 peratus selama 150 hari di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 menyusuli keputusan Mahkamah Agung.

Pada Rabu, pentadbirannya memaklumkan bahawa ia sedang melancarkan siasatan terhadap perdagangan berhubung lebihan kapasiti perindustrian dalam kalangan 16 rakan dagang utama.

Encik Greer berkata pada Rabu bahawa siasatan terhadap amalan perdagangan tidak adil “Seksyen 301” itu boleh membawa kepada pelaksanaan tarif baharu terhadap China, EU, India, Jepun, Korea Selatan dan Mexico menjelang musim panas ini.

Amerika Syarikat sebelum ini mengambil tindakan terhadap import panel solar dan barangan lain dari wilayah Xinjiang di China di bawah Akta Perlindungan Buruh Paksa Uyghur yang ditandatangani sebagai undang-undang oleh mantan Presiden Joe Biden, dan siasatan tersebut berpotensi memperluaskan langkah sedemikian ke negara-negara lain.

Encik Greer berkata beliau mahu negara-negara-negara lain menguatkuasakan larangan terhadap barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa, seperti yang termaktub dalam undang-undang perdagangan yang berusia hampir satu abad.

Amerika Syarikat mendakwa pihak berkuasa China menubuhkan kem-kem buruh bagi etnik Uyghur dan kumpulan Muslim lain. Beijing menafikan dakwaan berlaku penganiayaan terhadap etnik itu.

Encik Greer berkata beliau berharap siasatan Seksyen 301, termasuk usulan bagi langkah seterusnya, dapat diselesaikan sebelum tarif sementara Encik Trump tamat pada Julai.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita