Skip to main content

Dunia

Amerika serang 3 tapak nuklear Iran, sertai serangan udara Israel

Presiden Donald Trump pada Sabtu (21 Jun) berkata bahawa tentera Amerika menyerang tiga tapak di Iran, sekali gus melibatkan negara itu secara langsung ke dalam usaha Israel untuk menghapuskan program nuklear Iran.

Anggaran Waktu Membaca:
Amerika serang 3 tapak nuklear Iran, sertai serangan udara Israel

Bendera Israel pada tingkap sebuah bangunan yang rosak di Ramat Gan, Israel, dua hari selepas ia menjadi sasaran peluru berpandu Iran, pada Sabtu, 21 Jun 2025. (Gambar: AP/Ohad Zwigenberg)

Diterbitkan : 22 Jun 2025 08:41AM Dikemas Kini : 22 Jun 2025 01:14PM
WASHINGTON: Presiden Donald Trump pada Sabtu (21 Jun) berkata bahawa tentera Amerika menyerang tiga tapak di Iran, sekali gus melibatkan negara itu secara langsung ke dalam usaha Israel untuk menghapuskan program nuklear Iran.

Serangan itu dilihat sebagai pertaruhan berisiko bagi melemahkan musuhnya di tengah-tengah ancaman balas dari Tehran yang boleh mencetuskan konflik serantau yang lebih meluas.

Keputusan untuk melibatkan Amerika secara langsung dibuat selepas serangan Israel ke atas Iran memasuki minggu kedua, dengan tujuan menghapuskan pertahanan udara dan keupayaan peluru berpandu negara itu, serta memusnahkan kemudahan pengayaan nuklearnya.

Sebilangan pegawai Amerika dan Israel bagaimanapun berkata bahawa bom pemusnah kubu seberat 30,000 paun memberi peluang terbaik untuk memusnahkan kubu yang terhubung dengan program nuklear Iran di bawah tanah.

"Kami sudah menjalankan serangan yang sangat berjaya ke atas tiga tapak nuklear di Iran, termasuk Fordow, Natanz dan Esfahan," kata Encik Trump dalam catatannya di media sosial.

"Semua pesawat kini berada di luar ruang udara Iran. Banyak bom digugurkan ke atas tapak utama, Fordow. Semua pesawat dalam penerbangan pulang dengan selamat."

Serangan itu disifatkan sebagai keputusan yang boleh membawa bahaya terhadap Amerika Syarikat kerana Iran sudah berikrar untuk bertindak balas sekiranya Amerika menyertai serangan Israel.

Ia juga tindakan yang berbahaya bagi Encik Trump secara peribadi, yang menyandang semula jawatan presiden dengan janji untuk menjauhkan Amerika daripada konflik luar negara serta mencemuh nilai campur tangan Amerika di luar negara.
Sumber : AP/IM/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita