Skip to main content

Dunia

Amerika sangkal laporan perjanjian antara Israel-Hamas sudah dicapai

Anggaran Waktu Membaca:
Amerika sangkal laporan perjanjian antara Israel-Hamas sudah dicapai

Gambar ini diambil dari rakaman video AFPTV yang menunjukkan rakyat Palestin memeriksa kerosakan susuli serangan Israel ke atas kem pelarian Jabalia di Carikan Gaza pada 1 November 2023. (Gambar: AFP)

WASHINGTON: Amerika Syarikat pada Sabtu (18 Nov) menyatakan bahawa ia masih berusaha untuk memeteraikan perjanjian antara Israel dengan Hamas.

Ini selepas satu perjanjian untuk membebaskan tebusan yang terdiri daripada kalangan wanita dan kanak-kanak di Gaza, sebagai pertukaran dengan pertempuran ditangguhkan, dilaporkan sudah dicapai.
"Kami belum mencapai sebarang perjanjian setakat ini, tetapi kami akan berusaha lebih keras untuk mencapai perjanjian tersebut," kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara Rumah Putih Adrienne Watson di platform X, dalam respons kepada Washington Post yang melaporkan bahawa satu perjanjian sudah dicapai.

Washington Post pada Sabtu malam melaporkan bahawa perjanjian diketuai Qatar, antara Israel dengan Hamas dicapai bagi gencatan senjata lima hari, sebagai pertukaran dengan 50 atau lebih tebusan.

Akhbar itu menyatakan, satu perjanjian enam muka surat yang terperinci boleh bermakna para tebusan akan dibebaskan dalam beberapa hari akan datang, dan mungkin menyebabkan penghentian sementara pertama dalam konflik di Gaza.

Memetik sumber yang tidak dinamakan, akhbar tersebut menyatakan kesemua pihak akan menghentikan operasi serangan, sementara beberapa tebusan akan dibebaskan mengikut kumpulan. Penangguhan tersebut akan dikawal oleh pihak pengawasan.

Walau bagaimanapun, Majlis Keselamatan Negara Rumah Putih dengan segera menjawab dakwaan tersebut melalui satu catatan di X pada Sabtu, yang menyangkal dakwaan perjanjian sudah dicapai.

Israel menyatakan ia sedang bersiap sedia untuk meluaskan serangannya ke atas Hamas di selatan Gaza. Ini selepas serangan udara meragut puluhan rakyat Palestin, termasuk penduduk yang dilaporkan sedang berlindung di dua sekolah.

Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita