Skip to main content

Dunia

Amerika rampas kapal tangki Olina di Caribbean, kapal kelima disita dalam sekatan ke atas Venezuela

Amerika Syarikat merampas kapal tangki Olina di Laut Caribbean, menjadikannya kapal kelima yang disasarkan dalam beberapa minggu kebelakangan ini sedang Washington memperhebat usaha untuk membendung eksport minyak Venezuela, menurut para pegawai Amerika Syarikat pada Jumaat (9 Jan).
Anggaran Waktu Membaca:
Amerika rampas kapal tangki Olina di Caribbean, kapal kelima disita dalam sekatan ke atas Venezuela
Gambar fail sebuah kapal tangki minyak yang belayar di Tasik Maracaibo, di Cabimas, Venezuela, pada 14 Oktober 2022. (Gambar: REUTERS/Issac Urrutia)
WASHINGTON: Amerika Syarikat merampas kapal tangki Olina di Laut Caribbean, menjadikannya kapal kelima yang disasarkan dalam beberapa minggu kebelakangan ini sedang Washington memperhebat usaha untuk membendung eksport minyak Venezuela, menurut para pegawai Amerika Syarikat pada Jumaat (9 Jan).

Kapal Olina, yang menurut pangkalan data perkapalan awam Equasis didapati mengibarkan bendera Timor-Leste secara palsu, sebelum ini belayar dari Venezuela dan kembali ke rantau tersebut, kata seorang sumber industri yang mempunyai pengetahuan langsung berhubung perkara itu.

Dalam satu operasi sebelum waktu subuh, anggota marin dan kelasi dari Pasukan Petugas Bersama Southern Spear, yang dilancarkan dari kapal pengangkut USS Gerald R Ford, menahan kapal Olina di Laut Caribbean “tanpa sebarang kejadian”, menurut Markas Selatan Amerika Syarikat dalam satu catatan di platform X.

“Sekali lagi, pasukan antara agensi bersama kami menghantar mesej yang jelas pada pagi ini: ‘tiada tempat yang selamat untuk penjenayah,’” menurut kenyataan itu.

Kapal Olina meninggalkan Venezuela minggu lalu dengan muatan minyak yang penuh sebagai sebahagian daripada sebuah flotila tidak lama selepas Amerika Syarikat menangkap Presiden Venezuela Nicolas Maduro pada 3 Januari, dan kapal itu sedang berada dalam perjalanan pulang ke Venezuela dengan muatan penuh susulan sekatan Amerika Syarikat terhadap eksport minyak Venezuela, menurut sumber industri tersebut.

“Penjejak AIS (lokasi) kapal itu kali terakhir aktif 52 hari lalu di EEZ Venezuela, di timur laut Curacao,” menurut syarikat pengurusan risiko maritim Britain, Vanguard, dalam satu kenyataan berasingan.

“Rampasan itu menyusuli usaha menjejaki kapal-kapal tangki yang dikaitkan dengan penghantaran minyak Venezuela yang dikenakan sekatan di rantau tersebut dalam tempoh yang berpanjangan.”

Amerika Syarikat mengenakan sekatan ke atas kapal tangki itu pada Januari 2025, semasa ia dikenali sebagai Minerva M, atas alasan ia merupakan sebahagian daripada apa yang disifatkan Washington sebagai armada bayangan kapal-kapal yang belayar dengan kawal selia minimum atau tanpa perlindungan insurans yang diketahui.

M Sophia, sebuah lagi kapal tangki yang membentuk sebahagian daripada flotila kira-kira sedozen kapal yang meninggalkan Venezuela pada awal bulan ini, juga dirampas oleh pasukan Amerika Syarikat pada awal minggu ini.

Tiga kapal - Skylyn, Min Hang dan Merope - kesemuanya bermuatan penuh dan merupakan sebahagian daripada flotila yang sama yang berlepas pada minggu lalu, belayar kembali ke perairan Venezuela pada Khamis, menurut sumber industri tersebut.

Tujuh lagi kapal tangki daripada flotila itu, juga bermuatan penuh, dijadual kembali ke perairan Venezuela pada Jumaat dan Sabtu, menurut sumber berkenaan.

Kesemua minyak yang berada di atas 10 kapal tangki tersebut dimiliki oleh pengeluar milik negara Venezuela, PDVSA, tambah sumber itu. PDVSA tidak memberi maklum balas segera terhadap permintaan untuk komen.

Masih belum jelas sama ada Washington akan mengambil tindakan terhadap kapal-kapal tangki lain yang sedang belayar menuju ke Venezuela.

Sekatan Amerika Syarikat terhadap minyak Venezuela kekal berkuat kuasa sepenuhnya “di mana-mana sahaja di dunia”, kata Setiausaha Perang Pete Hegseth pada Rabu.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita