Skip to main content

Dunia

Amerika pertahan perjanjian minyak Trump dengan Venezuela

Para pegawai Amerika Syarikat pada Selasa (1 Sep) mempertahankan perjanjian minyak Presiden Donald Trump dengan Venezuela, dengan mengatakan bahawa ia akan menurunkan harga minyak bagi rakyat Amerika Syarikat dan membendung pengaruh Rusia dan China di negara yang terletak berhampiran Amerika Syarikat itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Amerika pertahan perjanjian minyak Trump dengan Venezuela

Kemudahan di loji penapisan El Palito milik syarikat minyak negara Venezuela, PDVSA, selepas Perhimpunan Nasional meluluskan rombakan besar-besaran terhadap undang-undang utama minyak negara itu, di Puerto Cabello, Venezuela, pada 22 Januari 2026. (Gambar fail: REUTERS/Gaby Oraa)

Diterbitkan : 02 Sep 2026 11:00AM
WASHINGTON: Para pegawai Amerika Syarikat pada Selasa (1 Sep) mempertahankan perjanjian minyak Presiden Donald Trump dengan Venezuela, dengan mengatakan bahawa ia akan menurunkan harga minyak bagi rakyat Amerika Syarikat dan membendung pengaruh Rusia dan China di negara yang terletak berhampiran Amerika Syarikat itu.

Perhimpunan Nasional Venezuela pada Selasa yang dikuasai pemerintah menyokong perjanjian bernilai berbilion dolar itu, yang memberikan Amerika Syarikat kawalan ke atas sekitar seperlima daripada rizab minyak Venezuela.

Namun, timbul persoalan besar berhubung perjanjian tersebut, yang dimeterai sedang Washington mengekalkan pengaruh luar biasa terhadap pemerintah di Caracas selepas menggulingkan Presiden Venezuela Nicolas Maduro pada Januari.

Encik Trump bertemu dengan para eksekutif syarikat minyak di Rumah Putih sedang beliau berusaha membendung harga petrol yang melonjak akibat perang Iran, dan pentadbirannya berharap perjanjian dengan Venezuela dapat membantu menangani keadaan itu.

"Kami sedang memperkukuh penguasaan tenaga Amerika Syarikat!" kata Encik Trump menerusi rangkaian Truth Social miliknya selepas pertemuan itu.

Setiausaha Tenaga Amerika Syarikat Chris Wright dijadual tiba di Venezuela lewat Selasa, manakala perjanjian tersebut dijangka ditandatangani pada Rabu.

Syarikat gergasi minyak Chevron pula dijangka mengumumkan peluasan besar-besaran operasinya di Venezuela pada hari yang sama.

"Pertama sekali, (perjanjian itu) mengutamakan kepentingan Amerika Syarikat," kata seorang pegawai Amerika kepada para wartawan, sambil menambah bahawa "keupayaan membeli minyak pada kos pengeluaran secara konsisten untuk negara kami amat penting".

Namun, pegawai itu menegaskan bahawa perjanjian tersebut juga "meletakkan Venezuela pada kedudukan yang baik dalam jangka panjang" dan menafikan bahawa ia akan mengukuhkan kedudukan pemerintah sementara yang diterajui oleh mantan Naib Presiden Maduro, Delcy Rodriguez.

"Ini sama sekali tidak menghalang peralihan demokrasi," tambah pegawai itu, yang bercakap dengan syarat identitinya dirahsiakan.

DI BAWAH KAWALAN AMERIKA SYARIKAT

Di Caracas, sebilangan anggota pembangkang berkecuali dalam undian bagi meluluskan perjanjian dengan Amerika Syarikat, dengan berhujah bahawa mereka seharusnya diberi peluang untuk meneliti syarat-syarat bertulis sebelum membuat keputusan.

"Kami perlu dan bertanggungjawab untuk mengetahui apa yang terkandung dalam butiran terperinci perjanjian tersebut," kata anggota pembangkang Luis Emilio Rondon.

Namun, ketua Perhimpunan Nasional Jorge Rodriguez berkata dana daripada perjanjian tersebut akan memberi manfaat kepada rakyat Venezuela.

"Siapa yang mendapat manfaat daripada minyak ini jika ia terus berada di bawah tanah?" kata Encik Rodriguez.

Menteri Pertahanan Venezuela Gustavo Gonzalez Lopez memberikan sokongan penuh pihak tentera terhadap perjanjian tersebut, dengan menyifatkannya sebagai perjanjian yang akan membawa "kemakmuran dan kesejahteraan kepada negara".

"Menjadikan perbezaan politik sebagai satu perjanjian kerjasama ekonomi merupakan suatu keputusan untuk memilih keamanan; ia bukan bermakna kita tunduk kepada pihak lain," kata beliau.

Perjanjian yang memberikan Amerika Syarikat keutamaan dari segi akses kepada 17 telaga minyak antara lain akan menyaksikan pengambilalihan kemudahan yang sebelum ini dikendalikan oleh syarikat-syarikat Rusia dan China.

Pegawai Amerika itu berkata ia merupakan satu "peluang geopolitik untuk mendapatkan telaga minyak tersebut yang sebelum ini sebahagian besarnya berada di bawah pengaruh syarikat China dan Rusia, dan sebaliknya menyelaraskannya dengan Amerika Syarikat".

Antara aspek paling kontroversial dalam perjanjian itu ialah pelibatan Alejandro Betancourt, seorang ahli niaga Venezuela yang dikaitkan dengan urus niaga mencurigakan semasa pentadbiran Hugo Chavez.

Encik Betancourt mengendalikan North American Blue Energy Partners (NABEP), syarikat minyak swasta kedua terbesar di Venezuela, yang pemerintah Amerika Syarikat akan mengambil alih 35 peratus kepentingan di bawah perjanjian tersebut.

Beliau pernah dituduh terbabit dalam rasuah di syarikat minyak milik negara Venezuela, PDVSA.

Namun, pegawai Amerika itu berkata Encik Betancourt adalah seorang "pengendali yang terbukti berkemampuan", sambil mengakui bahawa keadaan geopolitik kadangkala memerlukan urusan dilakukan dengan individu yang "tidak sempurna".

"Saya bukan mahu mencalonkan sesiapa untuk menjadi orang yang suci. Apa yang saya katakan ialah individu ini pernah membantu pemerintah Amerika Syarikat pada masa lalu," tambah pegawai itu.

Di bawah perjanjian tersebut, NABEP akan memberikan Washington hak untuk membeli 20 peratus daripada minyak yang dikeluarkan syarikat itu pada kos pengeluaran, menurut Rumah Putih.

Warga Amerika Syarikat mesti membentuk majoriti lembaga pengarah syarikat tersebut, sekali gus memberikan Washington kawalan ke atasnya. Pemerintah Amerika Syarikat juga akan mempunyai kuasa veto terhadap anggota lembaga tersebut.

Pegawai itu berkata kawalan Amerika Syarikat akan menamatkan rasuah dalam industri minyak Venezuela yang semakin merosot, selain mencegah Caracas daripada memberikan sebahagian besar bekalan minyaknya kepada sekutunya, Cuba.

"Ia digunakan sebagai tabung peribadi" oleh pemerintah Encik Maduro, kata pegawai tersebut.

Harga minyak yang lebih rendah menjadi keutamaan pentadbiran Presiden Trump menjelang pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat yang dijadual berlangsung pada November, yang boleh menyaksikan Parti Republican kehilangan kuasa ke atas Kongres.
Sumber : AFP/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita