Amerika perketat peraturan temu duga visa: Apa yang perlu diketahui warga SG?
Amerika Syarikat akan memperketat peraturannya bagi temu duga visa bermula 2 September, yang mewajibkan semua pemohon visa bukan imigran, termasuk kanak-kanak di bawah umur 14 tahun dan warga emas berusia lebih 79 tahun, untuk hadir secara fizikal bagi temu duga.
Para penumpang di sebuah terminal di Lapangan Terbang Antarabangsa Hartsfield-Jackson Atlanta, Georgia pada 2 Julai 2025. (Gambar fail: AFP/Charly Triballeau)
- Amerika Syarikat akan memperketat peraturannya bagi temu duga visa bermula 2 September, yang mewajibkan semua pemohon visa bukan imigran, termasuk kanak-kanak di bawah umur 14 tahun dan warga emas berusia lebih 79 tahun, untuk hadir secara fizikal bagi temu duga.
- Menjawab pertanyaan Mediacorp, Kedutaan Amerika Syarikat di Singapura pada Rabu menyatakan bahawa warga Singapura yang melancong di bawah Program Pengecualian Visa (Visa Waiver Program) tidak terjejas oleh perubahan tersebut.
- Walaupun kebanyakan warga Singapura tidak memerlukan visa untuk melancong ke Amerika Syarikat bagi tujuan pelancongan atau perniagaan, mereka masih perlu memohon kebenaran melalui Sistem Elektronik untuk Kebenaran Perjalanan (ESTA).
- Jika anda tidak layak untuk ESTA atas sebarang sebab, anda perlu memohon visa. Dan mulai 2 September, ini hampir pasti bermakna bahawa anda perlu menghadirkan diri bagi temu duga secara fizikal.
Perubahan itu, yang diumumkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat pada 25 Julai, membatalkan pengecualian temu duga terdahulu dan menandakan perubahan ke arah pemeriksaan yang lebih ketat bagi visa perjalanan dan perniagaan jangka pendek. Kemas kini tersebut menyusuli pengenalan bayaran pemprosesan baharu sebanyak AS$250 (S$321.76) bagi permohonan visa bukan imigran yang diumumkan pada awal minggu yang sama.
Kedutaan Amerika Syarikat di Singapura pada Selasa (29 Jul) turut membuat catatan berhubung perubahan tersebut di laman Facebook rasminya.
Namun adakah peraturan baharu itu terpakai bagi kebanyakan warga Singapura? Berikut perkara yang perlu anda ketahui:
APA YANG AKAN BERUBAH PADA 2 SEPTEMBER?
Mulai 2 September, semua pemohon visa bukan imigran, tanpa mengira usia, perlu menjalani temu duga secara bersemuka. Visa bukan imigran membenarkan warga asing memasuki Amerika Syarikat untuk tujuan tertentu, seperti pelancongan, perniagaan, pengajian atau lawatan sementara.
Peraturan baharu itu juga mengetatkan kelayakan bagi pengecualian temu duga bagi pembaharuan visa tertentu.
Di bawah garis panduan yang dikemas kini, para pemohon yang ingin memperbaharui visa B-1, B-2 atau B1/B2 hanya layak untuk pengecualian temu duga jika mereka berusia sekurang-kurangnya 18 tahun semasa visa terdahulu dikeluarkan.
Visa B-1 adalah untuk urusan perniagaan, B-2 bagi tujuan pelancongan, manakala visa B1/B2 membenarkan kedua-dua aktiviti tersebut.
ADAKAH INI AKAN JEJAS PERCUTIAN SAYA?
Menjawab pertanyaan Mediacorp, Kedutaan Amerika Syarikat di Singapura pada Rabu menyatakan bahawa warga Singapura yang melancong di bawah Program Pengecualian Visa (Visa Waiver Program) tidak terjejas oleh perubahan tersebut.
Namun, mereka masih perlu memohon kebenaran melalui Sistem Elektronik untuk Kebenaran Perjalanan (ESTA).
Singapura merupakan sebahagian daripada Program Pengecualian Visa Amerika Syarikat, yang membolehkan warganegara negara-negara tertentu untuk melakukan perjalanan ke Amerika Syarikat bagi tujuan pelancongan atau perniagaan tanpa memerlukan visa.
Jika anda tidak memerlukan visa, maka anda tidak perlu risau tentang temu duga visa, dan perubahan pada 2 September tidak terpakai bagi anda.
Namun begitu, para pelawat yang tidak layak untuk Program Pengecualian Visa perlu memohon visa untuk memasuki Amerika Syarikat dan perlu menghadiri temu duga. Perkara tersebut tidak ada kaitan dengan perubahan pengecualian temu duga, tambah kedutaan itu.
BAGAIMANA PULA DENGAN ESTA?
Walaupun kebanyakan warga Singapura tidak memerlukan visa untuk melancong ke Amerika Syarikat bagi tujuan pelancongan atau perniagaan, mereka masih perlu memohon kebenaran melalui Sistem Elektronik untuk Kebenaran Perjalanan (ESTA).
Anggap ESTA sebagai sistem prakelulusan dalam talian pemerintah Amerika Syarikat bagi pelawat di bawah Program Pengecualian Visa. Ia bukan visa, tetapi tetap diperlukan sebelum menaiki pesawat atau kapal ke Amerika Syarikat.
Kelulusan ESTA tidak menjamin kemasukan. Ia hanya memberi kebenaran untuk menaiki kenderaan ke Amerika Syarikat, di mana kemasukan akhir akan ditentukan oleh pegawai Kastam.
Setelah diluluskan, ESTA lazimnya sah selama dua tahun atau sehingga pasport pemohon tamat tempoh, mana-mana yang terdahulu.
Sepanjang tempoh tersebut, pelawat boleh memasuki Amerika Syarikat untuk beberapa kali tanpa perlu memohon semula, selagi ESTA dan pasport masih sah.
BILA SAYA PERLU MOHON VISA?
Walaupun secara umumnya warga Singapura boleh melancong ke Ameria Syarikat tanpa visa di bawah Program Pengecualian Visa, terdapat beberapa situasi yang masih memerlukan visa.
Ini termasuk lawatan yang melebihi tempoh 90 hari atau perjalanan yang bukan untuk tujuan pelancongan atau perniagaan jangka pendek, seperti pengajian atau pekerjaan.
Selain itu, jika anda pernah melawat Korea Utara, Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria atau Yaman pada atau selepas 1 Mac 2011, atau Cuba pada atau selepas 12 Jan 2021, anda perlu memohon visa.
Secara ringkas, jika anda tidak layak untuk ESTA atas sebarang sebab, anda perlu memohon visa. Dan mulai 2 September, ini hampir pasti bermakna bahawa anda perlu menghadirkan diri bagi temu duga secara fizikal.
RANCANG PERCUTIAN? INI YANG PERLU ANDA LAKUKAN
Warga Singapura yang merancang percutian atau lawatan perniagaan dengan tempoh kurang dari 90 hari perlu memohon ESTA secara online, di samping memastikan pasport biometrik atau elektronik mereka sah.
Jika anda tidak pasti sama ada anda layak untuk ESTA, sila semak laman Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat.
Sekiranya anda memerlukan visa, bersedialah untuk menghadiri temu duga secara fizikal mulai 2 September, walaupun anda berumur di bawah 14 tahun atau melebihi 79 tahun.
Berhubung sebab Amerika Syarikat mengetatkan proses pengecualian temu duganya, Kedutaan Amerika Syarikat di Singapura menyatakan: “Jabatan Negara komited untuk melindungi negara kami dan warganya dengan menegakkan piawai keselamatan negara dan keselamatan awam yang tertinggi melalui proses visa kami.
“Kami menggalakkan para pemohon visa untuk merujuk laman web kedutaan bagi mendapatkan maklumat lebih terperinci mengenai keperluan dan prosedur permohonan visa.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.