Amerika percaya gencatan senjata Gaza tidak mungkin berlaku dalam tempoh Biden berkuasa: WSJ
Akhbar Wall Street Journal melaporkan demikian dengan menukil kenyataan pegawai kanan Rumah Putih, Jabatan Negara dan Pentagon.
(Gambar: AFP/Eyad BABA)
Akhbar Wall Street Journal (WSJ) pada Khamis (19 Sep), memetik pegawai peringkat tertinggi di Rumah Putih, Jabatan Negara AS dan Pentagon tanpa menamakan mereka.
Badan-badan berkenaan tidak segera menjawab permintaan untuk mendapatkan komen.
"Saya boleh memberitahu anda bahawa kami tidak percaya perjanjian itu akan dapat dimuktamadkan," kata jurucakap Pentagon, Sabrina Singh, kepada pemberita pada Khamis sebelum laporan itu diterbitkan.
Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, berkata dua minggu lalu bahawa 90 peratus perjanjian gencatan senjata telah dipersetujui.
AS dan pengantara Qatar serta Mesir telah berbulan-bulan cuba mendapatkan gencatan senjata tetapi gagal untuk membawa Israel dan Hamas ke meja perjanjian.
Dua hambatan terbesar adalah permintaan Israel untuk mengekalkan pasukan tenteranya di koridor Philadelphi antara Gaza dan Mesir selain pertukaran tebusan Israel untuk tahanan Palestin yang dipenjarakan Israel.
AS telah berkata perjanjian gencatan senjata Gaza boleh mengurangkan ketegangan di seluruh Timur Tengah, di tengah-tengah kebimbangan konflik boleh merebak luas.
Presiden Biden membentangkan cadangan gencatan senjata tiga fasa pada 31 Mei, yang dipersetujui Israel pada masa itu.
Ketika rundingan menghadapi halangan, pegawai telah berminggu-minggu mengatakan cadangan baharu akan dibentangkan tidak lama lagi.
Pertumpahan darah terbaru dalam konflik Israel-Palestin yang sudah berdekad lamanya tercetus pada 7 Oktober apabila Hamas menyerang Israel, membunuh 1,200 orang dan mengambil kira-kira 250 tebusan, menurut pengiraan Israel.
Serangan Israel berikutnya ke atas kawasan yang ditadbir Hamas telah membunuh lebih 41,000 rakyat Palestin, menurut kementerian kesihatan tempatan.
Krisis itu menyebabkan hampir keseluruhan 2.3 juta penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal, mencetuskan krisis kelaparan dan dakwaan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Dunia, yang dinafikan Israel.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.