Skip to main content

Dunia

Amerika & Pengerusi ASEAN gesa pembebasan tanpa syarat Aung San Suu Kyi dari Myanmar

Anggaran Waktu Membaca:
Amerika & Pengerusi ASEAN gesa pembebasan tanpa syarat Aung San Suu Kyi dari Myanmar

Mantan pemimpin Myanmar yang ditahan, Aung San Suu Kyi, bertemu dengan Wakil Residen Myanmar dan Ketua Delegasi bagi Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) Arnaude de Baecque, di Naypyidaw, Myanmar pada 3 Ogos 2026. (Gambar: Reuters/Khine Khine Soe, jurucakap Pemerintah Myanmar)

Diterbitkan : 07 Aug 2026 08:50PM
MANILA: Jabatan Negara Amerika Syarikat dan Pengerusi ASEAN pada Jumaat (7 Ogos) sekali lagi menggesa pembebasan tanpa syarat mantan pemimpin Myanmar yang ditahan, Aung San Suu Kyi, serta tahanan politik lain.

Pada Isnin, Cik Aung San Suu Kyi bertemu dengan wakil Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) selepas bertahun-tahun timbul persoalan mengenai kesihatan dan keadaannya sejak ditahan menyusuli rampasan kuasa pada Februari 2021 yang menggulingkan pemerintah awam dipilih rakyat yang dipimpinnya.

Dalam kenyataan berasingan, Jabatan Negara Amerika Syarikat dan Pengerusi ASEAN mengalu-alukan lawatan ICRC itu dan menyatakan harapan agar ia menjadi permulaan kepada akses berkala, termasuk bagi rawatan perubatan, kepada penerima Hadiah Keamanan Nobel berusia 81 tahun itu.

"Kami menggesa supaya akses kepada mereka yang ditahan di Myanmar sejak Februari 2021 terus diperluas, dan mengulangi gesaan supaya mereka dibebaskan, termasuk pembebasan sepenuhnya dan tanpa syarat Daw Aung San Suu Kyi," menurut kenyataan Pengerusi ASEAN.

Dalam catatan di X, Jabatan Negara Amerika Syarikat menyatakan:
"Kami berharap lawatan ini menandakan permulaan lebih banyak akses kemanusiaan secara berkala kepada Aung San Suu Kyi dan berfungsi sebagai laluan kepada akses yang lebih besar kepada semua tahanan politik", dan menggesa agar beliau "dibebaskan segera dan tanpa syarat".

Jabatan Negara Amerika Syarikat turut menggesa tentera Myanmar supaya mengadakan dialog bagi menamatkan konflik yang tercetus selepas rampasan kuasa itu.

Pengerusi ASEAN menegaskan semula peranan utusan khas blok itu untuk berhubung dengan semua pihak di Myanmar selaras dengan Pelan Konsensus Lima Perkara ASEAN.

Menurutnya, pihaknya berharap utusan khas itu akan diberikan akses untuk melawat Myanmar dan bertemu semua pihak yang berkaitan, termasuk Cik Aung San Suu Kyi.

Filipina merupakan Pengerusi ASEAN bagi blok yang dianggotai 11 negara itu pada 2026.
Sumber : Reuters/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita