Amerika pengantara rundingan gencatan senjata Rusia-Ukraine di Saudi
Amerika Syarikat akan mengadakan rundingan berasingan dengan delegasi Rusia dan Ukraine di Arab Saudi pada Isnin (24 Mac) dalam usahanya menjadi perantara gencatan senjata selepas lebih tiga tahun konflik berlarutan antara kedua-dua negara itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Presiden Amerika, Donald Trump mendesak agar perang yang sudah berlarutan selama lebih tiga tahun antara Rusia dan Ukraine ditamatkan dengan segera. (Gambar: iStock)
Utusan Khas Amerika ke Ukraine, Keith Kellogg menyifatkan rundingan tidak langsung itu sebagai "diplomasi ulang-alik," dengan delegasi Amerika bertemu kedua-dua pihak yang ditempatkan dalam bilik berasingan.
"Anda pada dasarnya akan bertanya, 'Apakah syarat anda?' Kemudian pergi ke pihak satu lagi dan bertanya perkara yang sama," kata Encik Kellogg dalam satu temu bual dengan pengulas konservatif Glenn Beck pada hujung minggu lalu.
Menjelang pertemuan tiga hala itu, wakil Ukraine bertemu dengan delegasi Amerika untuk pusingan awal rundingan di Riyadh pada Ahad (23 Mac).
Antara tumpuan utama rundingan itu ialah menghentikan serangan terhadap kemudahan tenaga.
Rusia dan Ukraine secara prinsip bersetuju dengan "gencatan senjata separa" ini, namun pelaksanaannya masih belum dipastikan.
Amerika juga sedang berusaha untuk memperluaskan gencatan senjata ke laluan perkapalan di Laut Hitam.
Utusan khas Amerika, Steve Witkoff dalam satu wawancara bersama Fox News pada Ahad berkata: "Saya rasa anda akan melihat kemajuan sebenar di Arab Saudi pada Isnin, terutama berkaitan gencatan senjata di Laut Hitam ... daripada situ, ia berpotensi berkembang kepada gencatan senjata menyeluruh."
Presiden Donald Trump yang baru-baru ini berbincang dengan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky dan Presiden Rusia Vladimir Putin, menyuarakan keyakinannya perang itu dapat ditamatkan dengan segera.
Encik Zelensky menyokong rancangan Encik Trump untuk gencatan senjata menyeluruh selama 30 hari, namun Encik Putin menetapkan beberapa syarat awal, termasuk tuntutan agar negara-negara Barat menghentikan semua bantuan ketenteraan kepada Kyiv.
Delegasi Amerika di Arab Saudi terdiri daripada beberapa pasukan, termasuk Encik Kellogg dan Penasihat Keselamatan Negara Amerika, Mike Waltz.
Ketua Perunding Ukraine, Andrii Yermak turut hadir dalam rundingan itu, manakala Rusia akan diwakili oleh diplomat berpengalaman Grigory Karasin dan Sergey Beseda, seorang pegawai kanan perisikan serta sekutu rapat Encik Putin.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.