Amerika mulakan siasatan terhadap produk farmaseutikal, import cip
Pentadbiran Presiden Donald Trump sudahpun memulakan 232 siasatan ke atas import tembaga dan kayu, dan siasatan yang disiapkan dalam penggal pertama Encik Trump menjadi asas untuk tarif yang dilancarkan sejak beliau kembali ke Rumah Putih pada Januari lalu berhubung keluli dan aluminium serta industri kenderaan.

Ilustrasi yang menunjukkan cip semikonduktor pada papan litar sebuah komputer. (Gambar fail: REUTERS/Florence Lo)
Amerika mula mengutip 10 peratus tarif ke atas import pada 5 April. Barangan farmaseutikal dan semikonduktor dikecualikan daripada tarif tersebut, tetapi Encik Trump berkata bahawa ia akan menghadapi tarif yang berasingan.
Encik Trump berkata pada Ahad (13 Apr) bahawa beliau akan mengumumkan minggu depan mengenai kadar tarif ke atas semikonduktor yang diimport, sambil menambah bahawa akan ada kelonggaran dengan beberapa syarikat dalam sektor itu.
Amerika sangat bergantung kepada cip-cip yang diimport dari Taiwan, sesuatu yang cuba diubah oleh Presiden Joe Biden ketika itu dengan memberikan berbilion-bilion dolar melalui Akta Cip untuk menggalakkan pembuat cip mengembangkan pengeluaran masing-masing di Amerika Syarikat.
Siasatan yang diumumkan pada Isnin (14 Apr) akan merangkumi kedua-dua bahan farmaseutikal dan barangan farmaseutikal serta produk derivatif lain.
Pembuat ubat telah berhujah bahawa tarif boleh meningkatkan risiko berlaku kekurangan hasil pengeluaran dan mengurangkan akses untuk pesakit. Namun, Encik Trump telah menaikkan tarif, dengan alasan bahawa Amerika perlu meningkatkan pengilangan ubat supaya ia tidak perlu bergantung kepada negara-negara lain untuk bekalan ubatnya.
Syarikat-syarikat dalam industri tersebut telah melobi kepada Encik Trump untuk mengenakan tarif secara bertahap-tahap ke atas produk farmaseutikal yang diimport dengan harapan ia akan dapat mengurangkan harga dan memberi masa untuk beralih kepada proses pengilangan di Amerika sendiri.
Para pengeluar ubat utama mempunyai kilang dan loji pengeluaran global, terutamanya di Amerika, Eropah dan Asia, dan tindakan memindahkan lebih banyak pengeluaran ke Amerika melibatkan komitmen sumber yang besar dan boleh mengambil masa selama bertahun-tahun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.