Skip to main content

Dunia

Amerika muktamadkan resolusi PBB sokong rundingan gencatan senjata di Gaza

Lazimnya, ia adalah langkah terakhir sebelum dikemukakan kepada undian Majlis Keselamatan PBB (UNSC) untuk meluluskan teks yang akan menyokong usaha antarabangsa mendapatkan gencatan senjata di Gaza bagi pembebasan tebusan.

Anggaran Waktu Membaca:
Amerika muktamadkan resolusi PBB sokong rundingan gencatan senjata di Gaza

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) menggesa satu sesi dialog diadakan. (Gambar: Johannes Eisele/AFP)

Diterbitkan : 15 Mar 2024 11:34AM

NEW YORK: Amerika Syarikat (AS) memuktamadkan deraf resolusi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) bagi menyokong usaha antarabangsa menjadi perantara gencatan senjata.

Lazimnya, ia adalah langkah terakhir sebelum dikemukakan kepada undian Majlis Keselamatan PBB (UNSC) untuk meluluskan teks yang akan menyokong usaha antarabangsa mendapatkan gencatan senjata di Gaza bagi pembebasan tebusan.

Deraf akhir, yang dilihat Reuters, "tanpa belah bahagi menyokong usaha diplomatik antarabangsa mengisytiharkan segera gencatan senjata berkekalan sebagai sebahagian rundingan pembebasan tebusan dan mengurangkan kesengsaraan penduduk Gaza."

Bagaimanapun, tidak jelas bila atau sama ada AS akan meminta 15 anggota UNSC untuk mengundi teks yang dirundingkan sepanjang bulan lalu.

Untuk lulus, resolusi itu memerlukan sekurang-kurangnya sembilan undi dan tiada veto oleh AS, Perancis, Britain, Rusia atau China.

AS masih boleh membuat perubahan lanjut kepada deraf tersebut dan  mahu sebarang sokongan Majlis Keselamatan untuk gencatan senjata dikaitkan dengan pembebasan tebusan yang ditahan oleh Hamas di Gaza.

Resolusi UNSC yang digubal AS kali ini, mengutuk serangan Hamas pada 7 Oktober dan menekankan kebimbangan bahawa serangan darat Israel di Rafah, selatan Gaza "akan lebih memudaratkan orang awam dan berpotensi merebak ke negara jiran."

Semasa perang selama lima bulan, AS sudah gunakan kuasa veto terhadap tiga deraf resolusi, dua daripadanya menuntut gencatan senjata segera.

Baru-baru ini, AS mewajarkan kuasa vetonya dengan mengatakan tindakan UNSC boleh menjejaskan usaha AS, Mesir dan Qatar untuk menghentikan sementara perang dan membebaskan tebusan.

AS secara tradisinya melindungi Israel di PBB tetapi ia juga sudah berkecuali dua kali, membolehkan  UNSC meluluskan resolusi bagi meningkatkan bantuan kepada Gaza dan menggesa perang dihentikan.  

Sumber : Agensi berita/SU/su
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita