Skip to main content

Dunia

Amerika mahu tingkat pengaruh, hubungan keselamatan di Asia

Setiausaha Perang Amerika Syarikat Pete Hegseth mengadakan rundingan pada Jumaat (31 Okt) dengan rakan sejawatannya dari China dan India, antara siri pertemuan bertemu muka di Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-19 di Malaysia sedang Washington berusaha meningkatkan pengaruh dan hubungan keselamatan serantau.
Anggaran Waktu Membaca:
Amerika mahu tingkat pengaruh, hubungan keselamatan di Asia
Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Pete Hegseth menghadiri mesyuarat dua hala dengan Menteri Pertahanan Malaysia menjelang Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN ke-19 dan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN Plus ke-12 di Kuala Lumpur, Malaysia, pada 30 Oktober 2025. (Gambar: REUTERS/Hasnoor Hussain)
Diterbitkan : 01 Nov 2025 07:32AM Dikemas Kini : 01 Nov 2025 08:01AM
KUALA LUMPUR: Setiausaha Perang Amerika Syarikat Pete Hegseth mengadakan rundingan pada Jumaat (31 Okt) dengan rakan sejawatannya dari China dan India, antara siri pertemuan bertemu muka di Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-19 di Malaysia sedang Washington berusaha meningkatkan pengaruh dan hubungan keselamatan serantau.

Encik Hegseth berkata di platform X bahawa beliau memberitahu Menteri Pertahanan China Dong Jun bahawa Amerika Syarikat akan “mempertahankan kepentingannya dengan teguh” dan mengekalkan keseimbangan kuasa di Indo-Pasifik, sambil menyuarakan kebimbangan terhadap kegiatan China di Laut China Selatan dan di sekitar Taiwan.

Beliau turut memuji rangka kerja kerjasama pertahanan 10 tahun yang baharu, yang dimeterai dengan Menteri Pertahanan India Rajnath Singh sebagai “tonggak kestabilan dan pencegahan serantau”.

“Ia satu langkah penting bagi kedua-dua pasukan tentera kami, satu pelan hala tuju untuk menjalin kerjasama yang lebih mendalam dan lebih bermakna pada masa hadapan,” kata Encik Hegseth kepada wartawan selepas majlis pemeteraian perjanjian tersebut.

Encik Hegseth dan Encik Rajnath bertemu buat kali pertama sejak Amerika Syarikat mengenakan tarif sebanyak 50 peratus ke atas barangan India pada Ogos sebagai hukuman atas perbuatan New Delhi membeli minyak dari Rusia, yang mendorong India untuk menggantung pembelian peralatan pertahanan dari Amerika Syarikat.

TRUMP ARAH UJIAN SENJATA NUKLEAR DISAMBUNG SEMULA

Lawatan Encik Hegseth ke Asia Tenggara diadakan tidak lama selepas Presiden Donald Trump membuat pengumuman mengejut di media sosial dengan berkata bahawa beliau sudah pun mengarahkan tentera Amerika Syarikat untuk “memulakan ujian senjata nuklear”, dengan alasan Amerika Syarikat tidak boleh ketinggalan di belakang Rusia dan China.

Namun, timbul kekeliruan di Washington sama ada Encik Trump merujuk kepada ujian sistem penghantaran senjata nuklear seperti peluru berpandu, atau ujian letupan peranti nuklear, yang akan menamatkan moratorium selama 33 tahun.

Encik Hegseth tidak memberi maklum balas apabila ditanya oleh wartawan pada Jumaat supaya menjelaskan jenis ujian nuklear yang dimaksudkan oleh Encik Trump.

ASEAN secara konsisten menentang senjata nuklear dan sedang berusaha mendapatkan sokongan daripada semua negara pemilik senjata nuklear untuk mengesahkan zon bebas nuklear di Asia Tenggara, kata Setiausaha Agung Kao Kim Hourn kepada wartawan pada Jumaat apabila ditanya mengenai usaha menyambung semula ujian nuklear tersebut.

Amerika Syarikat kini giat mengukuhkan kehadirannya di Asia Tenggara bagi menyaingi pengaruh China yang semakin kuat, di mana Encik Trump pada Ahad lalu memberitahu pemimpin ASEAN bahawa Washington “bersama anda 100 peratus dan kami berhasrat menjadi rakan kukuh selama generasi-generasi akan datang”.

Amerika Syarikat mempunyai perjanjian pertahanan dengan Filipina yang melibatkan berpuluh-puluh latihan ketenteraan setiap tahun dan penggunaan beberapa pangkalan tentera di negara itu, selain latihan serupa yang dijalankan bersama Thailand dan Indonesia serta perkongsian keselamatan dengan Malaysia.

“TUBUHKAN SEMULA KUASA PENCEGAHAN DI LAUT CHINA SELATAN”

Dalam beberapa catatan di X yang disertai gambar pertemuannya di Kuala Lumpur pada Jumaat, Encik Hegseth berkata beliau membincangkan pakatan yang sekian lama dibina dengan menteri pertahanan Thailand, selain menyifatkan Indonesia sebagai “sauh kestabilan serantau”, dan berbincang tentang usaha mengukuhkan lagi kerjasama pertahanan antara Amerika Syarikat dengan Filipina.

“Kami akan berusaha sedaya upaya untuk menubuhkan semula kuasa pencegahan di Laut China Selatan dan mengukuhkan pakatan kami,” kata Encik Hegseth mengenai pertemuannya dengan Setiausaha Pertahanan Filipina Gilberto Teodoro.

Beijing menuntut kedaulatan bagi hampir keseluruhan Laut China Selatan mengikut garisan pada petanya yang bertindih dengan zon ekonomi khas Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina dan Vietnam.

China sebelum ini mengerahkan armada pengawal pantainya untuk mempertahankan tuntutannya itu, dan pihaknya beberapa kali bertembung dengan kapal-kapal Filipina dan dituduh mengganggu aktiviti tenaga Malaysia dan Vietnam.

Beijing bagaimanapun menegaskan bahawa pasukan pengawal pantainya bertindak secara profesional untuk mempertahankan wilayah China daripada diceroboh.

Menteri Pertahanan China Dong memberitahu rakan sejawatannya daripada ASEAN bahawa Beijing akan bekerjasama dengan negara jiran untuk “memperkukuh perisai keselamatan bersama”.

“Dengan kebijaksanaan Timur, kita akan menghimpunkan kekuatan Timur, dan melalui tindakan praktikal, memelihara keamanan dan kestabilan berkekalan di Laut China Selatan,” kata beliau, menurut kenyataan kementerian pertahanan China.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita