Skip to main content

Dunia

Amerika lunas AS$160 juta daripada hampir AS$4 bilion hutangnya kepada PBB

Anggaran Waktu Membaca:
Amerika lunas AS$160 juta daripada hampir AS$4 bilion hutangnya kepada PBB
Lambang PBB dipamerkan di luar Bangunan Sekretariat di Ibu Pejabat PBB pada 28 Februari 2022. (Gambar: AP/John Minchillo)
Diterbitkan : 20 Feb 2026 12:24PM
NEW YORK: Amerika Syarikat sudah melunaskan kira-kira AS$160 juta (S$203 juta) daripada hampir AS$4 bilion (S$5 bilion) hutangnya kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menurut PBB pada Khamis (19 Feb), dan Presiden Donald Trump berjanji akan menyalurkan lebih banyak dana kepada pertubuhan dunia itu.

Pembayaran oleh pentadbiran Presiden Trump minggu lalu diperuntukkan untuk belanjawan operasi biasa PBB, kata jurucakap PBB Stephane Dujarric kepada The Associated Press.

PBB menyatakan bahawa Amerika Syarikat berhutang AS$2.196 bilion (S$2.7 bilion) untuk belanjawan biasa, termasuk AS$767 juta (S$973.3 juta) bagi tahun ini, serta AS$1.8 bilion (S$2.2 bilion) untuk belanjawan berasingan bagi operasi pengaman PBB di pelbagai lokasi.

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres memberi amaran pada akhir bulan lalu bahawa pertubuhan dunia itu menghadapi “keruntuhan kewangan yang bakal berlaku” kecuali peraturan kewangannya dirombak atau kesemua 193 negara anggota menyokong pertubuhan itu melalui bantuan kewangan, dalam mesej yang jelas ditujukan kepada Amerika Syarikat.

Beliau berkata dalam surat kepada semua negara anggota bahawa dana untuk belanjawan biasa boleh habis menjelang Julai, yang boleh menjejas operasi PBB secara besar-besaran.

Para pegawai PBB berkata 95 peratus daripada pembayaran tertunggak kepada belanjawan biasa PBB adalah daripada Amerika Syarikat.

Pendedahan mengenai pembayaran Amerika itu diumumkan sedang Encik Trump mengadakan mesyuarat pertama Lembaga Keamanan, iaitu inisiatif baharu yang pada mulanya bertujuan untuk memantau gencatan senjata di Gaza tetapi, yang menurut ramai pemerhati, di bawah Trump berpotensi menyaingi peranan Majlis Keselamatan PBB dalam mencegah dan menamatkan konflik di seluruh dunia.

Encik Trump berkata PBB tidak mencapai potensi sebenar dan Amerika Syarikat sudah menarik diri daripada pertubuhan-pertubuhan di bawah naungan PBB, termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan UNESCO, sambil menghentikan pembiayaan daripada banyak pertubuhan lain.

Di mesyuarat Lembaga Keamanan pada Khamis (19 Feb) di Washington, Encik Trump kelihatan lebih positif tentang masa depan PBB, yang ditubuhkan selepas Perang Dunia Kedua.

Beliau berkata pentadbirannya akan bekerjasama “sangat rapat” dengan PBB dan menambah, “Suatu hari nanti, saya tidak akan berada di sini – PBB akan terus wujud.”

Encik Trump berkata Lembaga Keamanan “akan memantau PBB,” menguatkuasakan operasi dan memastikan kemudahan serta pengurusannya berjalan dengan lancar.

“Ia memerlukan bantuan, dan ia memerlukan bantuan dari segi kewangan,” kata presiden itu, tanpa menyebut bahawa kegagalan Amerika Syarikat melaksanakan ikrarnya sebelum ini menjadi punca utama krisis kewangan PBB.

“Kami akan membantunya dari segi kewangan, dan kami akan memastikan PBB mampu bertahan,” kata Encik Trump.

“Dan saya rasa ia akhirnya akan mencapai potensi sepenuhnya. Itu akan menjadi hari yang bersejarah,” tambah Encik Trump.

Beliau tidak menyatakan bila pembayaran selanjutnya akan dilakukan.

Jurucakap PBB, Encik Dujarric, berkata minggu lalu bahawa Encik Guterres sudah berhubung dengan Duta Amerika ke PBB Mike Waltz "untuk masa yang agak lama" dan pengawal kewangan PBB juga sudah berhubung dengan pegawai Amerika mengenai tunggakan tersebut.

PBB menyatakan 55 negara sudah membayar yuran keanggotaan tahunan mereka bagi 2026 sebelum tarikh akhir pada 8 Februari.
 
Sumber : AP/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita