Skip to main content

Dunia

Amerika Latin di ambang kebuluran dek COVID-19, dedah PBB

Krisis virus korona COVID-19 memaksa 40 juta penduduk Amerika Tengah, Amerika Selatan dan Caribbean berdepan dengan masalah keselamatan makanan.

Anggaran Waktu Membaca:
Amerika Latin di ambang kebuluran dek COVID-19, dedah PBB

Lambang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). (Gambar fail: REUTERS)

Diterbitkan : 17 Jun 2020 11:55AM Dikemas Kini : 17 Jun 2020 11:58AM

GENEVA: Krisis virus korona COVID-19 memaksa 40 juta penduduk Amerika Tengah, Amerika Selatan dan Caribbean berdepan dengan masalah keselamatan makanan.

Sehubungan itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa agar tindakan segera diambil sebelum berlaku "pandemik kebuluran".

Menurut Program Makanan Sedunia PBB, jumlah penduduk yang kelaparan meningkat dari 3.4 juta pada awal tahun ini kepada 14 juta di kesemua 11 negara tempat ia beroperasi di rantau itu. 

Pengarah Serantau Program Makanan Sedunia (WFP) di Amerika Latin dan Caribbean, Miguel Barreto, berkata jumlah itu berisiko meningkat kepada 40 juta akibat kesan sosio-ekonomi pandemik itu, jika turut mengambil kira penduduk di negara yang menghadapi masalah keselamatan makanan tahap sederhana.

Amaran berkenaan dikeluarkan apabila angka korban akibat COVID-19 di Amerika Latin dan Caribbean melepasi 80,000 orang, berdasarkan perangkaan rasmi oleh AFP, sedang virus itu terus merebak ke seluruh rantau.

"Kami amat bimbang dengan keadaan ini. Malangnya, ia bukan satu berita baik apabila menyentuh tentang keadaan keselamatan makanan," Barreto memberitahu para wartawan di Geneva menerusi pautan video dari Panama.

"Ramalan kami menunjukkan senario yang membimbangkan. Kita perlu mengambil langkah segera bagi mengelakkan krisis ini bertukar menjadi pandemik kebuluran," katanya.

WFP di rantau itu beroperasi di negara-negara 'Koridor Kering' Amerika Tengah iaitu El Salvador, Guatemala, Honduras dan Nicaragua.

Operasi WFP di Amerika Selatan merangkumi Ecuador, Bolivia, Peru dan Colombia manakala di Caribbean, WFP berpangkalan di Cuba, Republik Dominica dan Haiti.

Beliau menambah tiga kebimbangan utama WFP adalah Haiti, Koridor Kering dan pendatang asing di Amerika Selatan.

Jumlah penduduk yang berdepan masalah makanan di Haiti sahaja meningkat seganda dari 700,000 pada Disember kepada 1.7 juta. 

Sumber : AFP/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita