Skip to main content

Dunia

Amerika lapor lebih 3,900 kematian akibat COVID-19 dalam 24 jam

 Amerika Syarikat (AS) memecahkan rekodnya sendiri bagi jumlah kematian harian akibat COVID-19 pada Selasa (5 Jan) apabila mencatatkan 3,936 kematian dalam tempoh 24 jam, menurut perangkaan yang dikeluarkan Johns Hopkins University.

Anggaran Waktu Membaca:
Amerika lapor lebih 3,900 kematian akibat COVID-19 dalam 24 jam

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 06 Jan 2021 07:36PM Dikemas Kini : 06 Jan 2021 07:42PM

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) memecahkan rekodnya sendiri bagi jumlah kematian harian akibat COVID-19 pada Selasa (5 Jan) apabila mencatatkan 3,936 kematian dalam tempoh 24 jam, menurut perangkaan yang dikeluarkan Johns Hopkins University.

Negara yang paling teruk dilanda pandemik itu juga mencatatkan 250,173 kes baru dalam tempoh sama setakat 8.30 malam Selasa (waktu tempatan), menurut rekod universiti yang berpangkalan di Baltimore.

Jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Amerika Syarikat melonjak kepada lebih 21 juta kes jangkitan termasuk 357,067 kematian sejak bermulanya pandemik itu.

Jumlah pesakit yang dirawat di hospital juga berada pada paras tertinggi sejak awal dengan lebih 131,000 pesakit dimasukkan ke hospital kerana COVID-19, menurut data daripada Projek Pengesanan COVID-19.

Kakitangan ambulans Los Angeles diarah supaya tidak membawa pesakit dengan peluang hidup yang sangat tipis ke hospital dan mengehadkan penggunaan oksigen, kerana kes COVID-19 memerlukan banyak sumber perubatan.

Rekod kematian harian tertinggi sebelum ini dicatatkan enam hari lalu sebanyak 3,920 kematian dan lonjakan kes luar biasa semakin ketara sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Sejak hujung November lalu, jumlah kematian harian meningkat secara mendadak melebihi 2,000 kes dengan kebiasaannya lebih 3,000 kematian setiap hari.

Peningkatan itu dipengaruhi musim cuti, yang sudah dijangka memburukkan lagi keadaan.

Negara terkaya di dunia itu bergantung pada kempen vaksinasi yang bermula pada pertengahan Disember lalu dalam usaha mengatasi wabak tersebut.

Kurang daripada dua peratus penduduk Amerika Syarikat, atau 4.8 juta orang setakat ini sudah menerima suntikan pertama.

Bakal Presiden, Joe Biden, yang akan mengambil alih jawatan pada 20 Januari, pada Selasa (5 Jan), membincangkanperkara itu dengan pasukannya yang bertanggungjawab terhadap krisis kesihatan tersebut.

Sumber : AFP/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita