Skip to main content

Dunia

Amerika lapor kes pertama jangkitan parasit pemakan daging pada manusia

Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia (HHS) Amerika Syarikat mengesahkan kes pertama jangkitan parasit pemakan daging pada manusia di negara itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Anggaran Waktu Membaca:
Amerika lapor kes pertama jangkitan parasit pemakan daging pada manusia

Gambar fail.

Diterbitkan : 27 Aug 2025 12:23PM Dikemas Kini : 27 Aug 2025 12:25PM
ISTANBUL: Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia (HHS) Amerika Syarikat mengesahkan kes pertama jangkitan parasit pemakan daging pada manusia di negara itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

New World Screwworm (NWS), sejenis lalat parasit akan menggali masuk ke dalam tisu perumah hidup menggunakan cangkuk mulutnya yang tajam, menyebabkan kerosakan teruk yang boleh membawa maut.

Seorang jurucakap HHS memberitahu ABC News pada Isnin (25 Ogos) bahawa pesakit itu melawat El Salvador baru-baru ini sambil menegaskan bahawa risiko kepada orang ramai di Amerika Syarikat adalah sangat rendah, manakala Amerika Tengah dan Mexico terus berdepan wabak parasit itu dalam ternakan.

Jabatan Pertanian Amerika Syarikat memaklumkan cacing skru tidak ditemukan pada haiwan di Amerika Syarikat dan menyatakan bahawa ia sebahagian besarnya dihapuskan beberapa dekad lalu dengan melepaskan lalat jantan yang dimandulkan untuk menghapuskan populasinya.

“Namun dengan penularannya di negara-negara berdekatan, lalat NWS bukan sahaja menjadi ancaman kepada masyarakat penternak kita, tetapi ia juga mengancam bekalan makanan dan keselamatan negara,” kata agensi itu.

Agensi itu menggariskan langkah-langkah baharu untuk menyekat kemasukannya, termasuk menubuhkan pusat pembiakan lalat mandul di negeri Texas, menempatkan unit peronda berkuda untuk memantau pergerakan hidupan liar, dan menggunakan anjing pengesan untuk memeriksa barangan import di pintu masuk negara.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit, individu yang melawat kawasan wabak, bersentuhan dengan ternakan, tidur di luar rumah dan mempunyai luka terbuka berdepan risiko lebih tinggi untuk dijangkiti cacing skru.
Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita