Skip to main content

Dunia

Amerika kritik penggunaan AI untuk tetapkan harga tiket penerbangan, akan siasat

Anggaran Waktu Membaca:
Amerika kritik penggunaan AI untuk tetapkan harga tiket penerbangan, akan siasat

Pelawat meninggalkan hotel di Lapangan Terbang Antarabangsa Denver di Denver, Colorado, Amerika Syarikat pada 3 November 2017. (Gambar: REUTERS/Rick Wilking/Gambar fail)

WASHINGTON: Setiausaha Pengangkutan Amerika Syarikat, Sean Duffy, pada Selasa berkata bahawa jabatan itu bimbang mengenai penggunaan AI (kecerdasan buatan) untuk menetapkan harga tiket penerbangan peribadi dan akan menyiasat jika ada syarikat yang berbuat demikian.

Minggu lalu, Delta Air Lines memberitahu penggubal undang-undang bahawa ia tidak akan dan tidak pernah menggunakan AI untuk menetapkan harga bagi pelanggan individu. "Untuk cuba menetapkan harga individu bagi tempat duduk berdasarkan berapa banyak pendapatan anda atau siapa anda, saya boleh jamin kami akan menyiasat jika ada sesiapa yang berbuat demikian," kata Encik Duffy. "Kami akan bertindak dengan tegas jika mana-mana syarikat cuba menggunakan AI untuk menetapkan harga tempat duduk mereka secara individu."  

Encik Duffy menyatakan bahawa Delta menjelaskan ia tidak akan menggunakan AI untuk menetapkan harga tiket individu, "dan saya akan mengambil kata-kata mereka."

Hujung bulan lalu, Senator-senator Demokrat, Ruben Gallego, Mark Warner, dan Richard Blumenthal, berkata mereka percaya syarikat penerbangan yang berpangkalan di Atlanta itu akan menggunakan AI untuk menetapkan harga individu, yang "kemungkinan besar bermakna kenaikan harga tambang sehingga ke had kemampuan peribadi setiap pelanggan."

Delta sebelum ini menyatakan ia merancang untuk menggunakan teknologi pengurusan pendapatan berasaskan AI di 20 peratus rangkaian domestiknya menjelang hujung tahun 2025, dengan kerjasama Fetcherr, sebuah syarikat penetapan harga AI.

Fetcherr di laman menyatakan teknologinya "dipercayai oleh syarikat penerbangan terkemuka dunia," dan menyenaraikan Delta, Westjet, Virgin Atlantic, Viva, dan Azul.

Ketua Pegawai Eksekutif American Airlines, Robert Isom, bulan lalu berkata penggunaan AI untuk menetapkan harga tiket boleh merosakkan kepercayaan pelanggan.

Penggubal undang-undang Demokrat, Greg Casar dan Rashida Tlaib, memperkenalkan undang-undang untuk melarang syarikat menggunakan AI bagi menetapkan harga atau gaji berdasarkan data peribadi rakyat Amerika dan secara khusus akan melarang syarikat penerbangan menaikkan harga individu selepas melihat carian untuk obituari keluarga.

Delta menyatakan syarikat penerbangan menggunakan harga dinamik selama lebih tiga dekad, di mana harga berubah berdasarkan pelbagai faktor seperti permintaan pelanggan keseluruhan, harga bahan api, dan persaingan, tetapi bukan maklumat peribadi pelanggan tertentu.
Sumber : Reuters/NK/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita