Amerika kenakan sekatan terhadap presiden, peguam kanan Mahkamah Jenayah Antarabangsa
Amerika Syarikat pada Selasa (18 Ogos) mengenakan sekatan terhadap Presiden Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan seorang peguam kanan perbicaraan di mahkamah tersebut, menurut Setiausaha Negara Marco Rubio.
Pemandangan luar Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague, Belanda, pada 22 September 2025. (Gambar: REUTERS/Piroschka van de Wouw)
Langkah itu merupakan tindakan terkini pentadbiran Presiden Donald Trump terhadap mahkamah yang berpangkalan di The Hague itu. ICC ditubuhkan masyarakat antarabangsa pada 2002 untuk mendakwa pihak yang melakukan kesalahan jenayah perang, genosid dan jenayah terhadap kemanusiaan. Amerika Syarikat bukan anggota mahkamah tersebut.
Encik Rubio berkata dalam satu kenyataan bahawa beliau mengenakan sekatan terhadap Tomoko Akane, hakim warga Jepun yang merupakan Presiden ICC, dan Abdoulaye Seye, peguam kanan perbicaraan warga Senegal, di bawah perintah eksekutif Encik Trump tahun lalu yang membenarkan sekatan dikenakan terhadap mahkamah tersebut.
"Individu-individu ini terlibat secara langsung dalam usaha ICC untuk menyiasat, memberkas, menahan atau mendakwa para pegawai pemerintah yang tidak memberikan persetujuan kepada bidang kuasa ICC," kata Encik Rubio.
ICC mengecam langkah tersebut, dengan menyatakan dalam satu kenyataan bahawa tindakan tersebut menjejas kedaulatan undang-undang.
"Apabila pihak kehakiman diancam kerana melaksanakan undang-undang, aturan perundangan antarabangsa itu sendiri terancam," menurut ICC.
Encik Seye adalah seorang peguam kanan perbicaraan dalam pasukan pendakwaan yang memohon waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan sudah dicalonkan sebagai hakim ICC.
Tindakan Amerika Syarikat itu bertentangan dengan pendirian sekutunya di Eropah.
Menteri Luar Belanda Tom Berendsen berkata menerusi X bahawa Belanda, yang menjadi tuan rumah kepada mahkamah tersebut, tidak bersetuju dengan sekatan terbaharu Amerika Syarikat dan beliau sudah mengundang Hakim Akane untuk "membincangkan sokongan berterusan kami".
"Mahkamah dan tribunal antarabangsa mesti berupaya melaksanakan mandat mereka secara bebas," tulis Encik Berendsen.
Hakim Kanan ICC, Akane, memberi amaran pada Disember bahawa sekatan Amerika Syarikat akan "dengan cepat menjejas operasi mahkamah dalam semua situasi dan kes, serta mengancam kewujudannya".
Amerika Syarikat tahun lalu mengenakan sekatan yang disasarkan terhadap beberapa pegawai ICC, termasuk pendakwa dan hakim, sambil merujuk kepada waran tangkap ICC terhadap Encik Netanyahu dan mantan Menteri Pertahanan Israel Yoav Gallant, serta siasatan terdahulu terhadap tentera Amerika Syarikat di Afghanistan sebagai sebabnya.
Sekatan tersebut membekukan sebarang aset di Amerika Syarikat yang mungkin dimiliki individu-individu berkenaan dan pada dasarnya menyekat akses mereka kepada sistem kewangan Amerika Syarikat, yang mempunyai hubungan rapat dengan hampir semua bank yang beroperasi di peringkat antarabangsa.
Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat turut mengeluarkan lesen am pada Selasa yang membenarkan urus niaga melibatkan Hakim Akane dan Encik Seye dihentikan secara berperingkat sehingga 17 September.
'MEMPERTAHANKAN' NETANYAHU
Tiga hakim ICC menyaman Encik Trump dan pentadbirannya pada Jun berhubung sekatan tersebut, dengan berhujah bahawa langkah itu menyalahi undang-undang.
Kumpulan-kumpulan advokasi, menerusi dua saman berasingan, menyatakan tindakan Amerika Syarikat itu mencabuli hak perlembagaan pertubuhan yang bekerjasama dengan mahkamah tersebut untuk menuntut keadilan bagi kekejaman yang dilakukan di seluruh dunia.
Encik Rubio berkata bulan lalu bahawa pentadbiran Presiden Trump akan mempergiatkan usaha untuk melemahkan ICC, termasuk menerusi kempen-kempen diplomatik bagi meyakinkan negara lain supaya keluar daripada institusi tersebut, satu gesaan yang telah disahut sekurang-kurangnya lima negara.
Encik Rubio berhujah bahawa mahkamah tersebut menimbulkan ancaman terhadap kakitangan Amerika Syarikat yang melaksanakan dasar imigresen Presiden Donald Trump yang tegas atau serangan ke atas bot-bot yang dituduh menyeludup dadah, serta anggota tentera Amerika Syarikat yang lain.
Encik Trump berkata usaha yang dilakukan itu bertujuan mempertahankan Encik Netanyahu dan individu lain daripada pendakwaan, dan bukannya untuk melindungi dirinya sendiri.
Amerika Syarikat tidak pernah menjadi anggota mahkamah tersebut. ICC hanya melaksanakan bidang kuasanya jika sesebuah negara anggota tidak mampu atau tidak bersedia untuk menjalankan pendakwaannya sendiri terhadap jenayah yang kejam.
Bagaimanapun, statut ICC turut memberi mahkamah tersebut kuasa untuk menjalankan pendakwaan bagi jenayah kejam yang dilakukan di wilayah negara anggotanya oleh negara yang tidak menjadi anggota ICC.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.