Skip to main content

Dunia

Amerika kemukakan ketetapan PBB tuntut 'gencatan senjata segera' di Gaza: Blinken

Anggaran Waktu Membaca:
JEDDAH: Amerika Syarikat menghantar ketetapan kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menggesa pelaksanaan "gencatan senjata segera" berkait dengan pembebasan tebusan" di Carikan Gaza.

Demikian menurut Setiausaha Negara Antony Blinken.

"Kami sebenarnya telah mengemukakan ketetapan yang kini disampaikan kepada Majlis Keselamatan (untuk) menggesa gencatan senjata segera yang dikaitkan dengan pembebasan tebusan, dan kami sangat berharap negara-negara akan menyokongnya," katanya kepada media Arab Saudi Al Hadath pada Rabu (20 Mac) semasa melakukan lawatan ke Arab Saudi untuk membincangkan mengenai perang antara Israel dan Hamas di Gaza.

Diplomat tertinggi Amerika itu sedang berada di Jeddah pada pusingan pertama lawatan serantau yang diperluaskan untuk menyertai Israel. Beliau telah bertemu dengan Menteri Luar Arab Saudi Putera Faisal bin Farhan sebelum mengadakan perbincangan dengan Putera Mahkota Mohammed bin Salman.

Encik Blinken dan Putera Faisal "berbincang mengenai keperluan mendesak itu untuk melindungi semua orang awam di Gaza dan segera meningkatkan bantuan kemanusiaan kepada mereka yang memerlukan," jelas jurucakap Jabatan Negara Matthew Miller dalam satu kenyataan.

"(Encik) Blinken menekankan pentingnya penyelarasan rapat berterusan dengan rakan serantau dan antarabangsa dalam menghuraikan konflik di Gaza dan bersiap sedia untuk fasa pasca konflik," kata Encik Miller.

Kerajaan Arab Saudi itu merupakan persinggahan pertama dalam siri jelajah keenam Encik Blinken di Timur Tengah sejak perang Israel-Hamas bermula pada 7 Oktober lalu.

Beliau dijadual berlepas pada Khamis ke Mesir, yang bersempadan dengan Gaza dan telah terlibat sama dalam usaha pengantaraan untuk mencapai persetujuan bagi melaksanakan gencatan senjata.

Pada keesokan harinya, beliau akan ke Israel dalam lawatan yang tidak dijadualkan sebelum ini, di tengah-tengah ketegangan antara Presiden Amerika Joe Biden dan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.
 
Sumber : AGENCIES/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita