Amerika, Kanada tawar bantuan kepada Nepal; puluhan rakyat mereka dilaporkan hilang
Anggota penyelamat menggunakan jengkaut untuk membawa mangsa banjir kilat ke tempat selamat di sepanjang Sungai Trishuli, daerah Nuwakot, Nepal. (Gambar: AP)
- Amerika Syarikat dan Kanada menyatakan kesediaan menyalurkan bantuan kecemasan kepada Nepal selepas banjir kilat dan tanah runtuh melanda sempadan Nepal-Tibet pada 26 Ogos.
- Bencana tersebut menyebabkan sekurang-kurangnya 160 orang maut dan lebih 680 orang masih hilang, termasuk puluhan warga Amerika dan Kanada.
- Banjir memusnahkan 13 projek hidroelektrik, 40 kilometer jalan raya, 200 lori dan 19 jambatan, serta merosakkan banyak infrastruktur.
- Pemerintah Nepal sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat, sementara Washington dan Ottawa belum mengesahkan jumlah rakyat mereka yang hilang.
Puluhan rakyat kedua-dua negara turut dilaporkan masih hilang menyusuli bencana itu.
"Jabatan Negara bersedia menyokong pemerintah Nepal dengan bantuan kemanusiaan yang diperlukan," kata Setiausaha Negara Amerika Marco Rubio menerusi hantaran di X.
Beliau turut menyatakan perpaduan dengan rakyat Nepal dan berkata Washington mendoakan mereka yang terjejas akibat bencana itu.
Perdana Menteri Kanada Mark Carney pula menyifatkan bencana tersebut sebagai "amat dahsyat".
"Ingatan rakyat Kanada bersama semua yang sedang berdepan kesusahan, mereka yang kehilangan insan tersayang serta mereka yang masih menanti khabar," kata Encik Carney menerusi hantaran di X.
Beliau menambah bahawa pemerintah Kanada bersedia memberikan sokongan.
LEBIH 680 ORANG MASIH HILANG
Sekurang-kurangnya 47 warga Amerika dilaporkan hilang, manakala 24 warga Kanada masih belum diketahui nasib mereka, menurut pihak berkuasa Nepal.
Washington dan Ottawa bagaimanapun belum mengesahkan angka tersebut secara berasingan.
Bencana itu meragut sekurang-kurangnya 160 nyawa dan menyebabkan lebih 680 orang hilang.
Menurut anggaran pemerintah Nepal, banjir tersebut memusnahkan 13 projek hidroelektrik serta 40 kilometer jalan raya.
Kira-kira 200 lori dan 19 jambatan turut dihanyutkan arus deras.
Banjir besar itu melanda kawasan sempadan Nepal-Tibet pada Rabu, dengan arus deras membawa lumpur dan serpihan serta memusnahkan bangunan dan prasarana di laluannya.
Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan sedang pihak berkuasa berusaha mengesan ratusan mangsa yang masih hilang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.