Amerika isytihar cabang kumpulan Pakistan sebagai 'pengganas' susuli serangan di Kashmir
Pemerintah Amerika Syarikat mengisytiharkan kumpulan The Resistance Front (TRF), yang dianggap sebagai cabang kumpulan Pakistan, Lashkar-e-Taiba, sebagai sebuah “pertubuhan pengganas asing” berhubung serangan pada 22 April di Kashmir yang ditadbir India, yang mengorbankan 26 orang, menurut Setiausaha Negara Marco Rubio pada Khamis (17 Jul).
Seorang anggota pasukan keselamatan India di lokasi serangan yang disyaki menyasarkan para pelancong di Baisaran, dekat Pahalgam, dalam daerah Anantnag di selatan Kashmir pada 23 April 2025. (Gambar fail: REUTERS/Stringer)
TRF, yang turut dikenali sebagai Kashmir Resistance, pada awalnya mengaku bertanggungjawab atas serangan di Pahalgam sebelum menafikannya beberapa hari kemudian.
Lashkar-e-Taiba, yang disenaraikan sebagai “pertubuhan pengganas asing” oleh Amerika Syarikat, merupakan kumpulan tegar Islam yang dituduh merancang serangan di India dan negara-negara Barat, termasuk serangan berdarah selama tiga hari di Mumbai pada November 2008.
Encik Rubio menyifatkan TRF, yang muncul pada 2019, sebagai “barisan hadapan dan proksi” bagi Lashkar-e-Taiba.
Ia dianggap sebagai cabang kepada Lashkar-e-Taiba, menurut South Asia Terrorism Portal, sebuah badan pemikir yang berpangkalan di Delhi.
Serangan tersebut mencetus pertempuran sengit antara dua negara Asia bersenjata nuklear, India dan Pakistan, dalam episod terkini permusuhan yang sudah berlarutan sejak beberapa dekad.
New Delhi menyalahkan Pakistan atas serangan itu, namun negara tersebut menafikan pelibatannya dan menyeru agar siasatan bebas dijalankan.
Washington pula mengecam serangan tersebut tetapi tidak menyalahkan Islamabad secara langsung.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.