Skip to main content

Dunia

Amerika-Israel Serang Iran: UNESCO kutuk serangan maut terhadap sekolah rendah perempuan di Iran

Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada Ahad (1 Mac) mengutuk serangan peluru berpandu yang memusnahkan sebuah sekolah rendah perempuan di bandar Minab di selatan Iran, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Anggaran Waktu Membaca:
Amerika-Israel Serang Iran: UNESCO kutuk serangan maut terhadap sekolah rendah perempuan di Iran
Operasi menyelamatkan 53 siswa di bawah runtuhan bangunan. (Gambar: X/@araghchi)
Diterbitkan : 02 Mar 2026 01:49PM Dikemas Kini : 02 Mar 2026 01:50PM
ISTANBUL: Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada Ahad (1 Mac) mengutuk serangan peluru berpandu yang memusnahkan sebuah sekolah rendah perempuan di bandar Minab di selatan Iran, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Menurut UNESCO menerusi kenyataan di media sosial, serangan itu adalah pelanggaran serius undang-undang antarabangsa sedang keganasan serantau semakin berleluasa.  

Ia memaklumkan pengeboman pada Sabtu membunuh sekurang-kurangnya 150 orang dan mencederakan hampir 100 yang lain, dengan kebanyakan mangsa dipercayai pelajar.

Agensi itu memberi amaran bahawa sekolah ialah ruang yang dilindungi di bawah undang-undang kemanusiaan, sambil menekankan bahawa "serangan terhadap institusi pendidikan membahayakan pelajar dan guru serta menjejas hak untuk pendidikan."

UNESCO menyertai badan PBB dan pegawai kanan lain, termasuk Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, dalam mengecam kedua-dua serangan ketenteraan yang berterusan dan serangan balas Iran di seluruh bahagian Timur Tengah.

Pemenang Nobel Keamanan dan Utusan Keamanan PBB Malala Yousafzai berkata di platform syarikat media sosial Amerika Syarikat X bahawa beliau "terkejut" atas serangan itu, sambil menambah "pembunuhan orang awam, terutamanya kanak-kanak, adalah tidak wajar, dan saya mengutuknya dengan tegas."

Beliau menyeru agar keganasan dihentikan, menyatakan bahawa "semua negara dan pihak mesti melaksanakan kewajipan di bawah undang-undang antarabangsa untuk melindungi orang awam dan melindungi sekolah. Setiap kanak-kanak berhak untuk hidup dan belajar dengan aman."
Sumber : Bernama/IM/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita