Amerika-Israel Serang Iran: Iran ikrar akan serang kapal cuba melalui Selat Hormuz
Burung-burung terbang berhampiran sebuah bot di Selat Homuz di tengah-tengah konflik Amerika Syarikat-Israel bersama Iran, seperti dilihat dari Musandam, Oman pada 2 Mac 2026. (Gambar: Reuters/Amr Alfiky)
Ini adalah amaran paling jelas Iran sejak memberitahu kapal-kapal bahawa ia menutup laluan eksport pada Sabtu lalu (28 Feb), satu langkah yang mengancam akan menyekat seperlima aliran minyak global dan menyebabkan harga minyak mentah meningkat dengan mendadak.
"Selat (Hormuz) sudah ditutup. Jika sesiapa cuba melaluinya, Pengawal Revolusi Iran dan tentera laut akan membakar kapal-kapal tersebut," kata Ebrahim Jabari, penasihat kanan kepada panglima tertinggi Pengawal Revolusi, dalam ucapan yang disiarkan oleh media pemerintah Iran.
Selat itu merupakan laluan eksport minyak paling penting di dunia, yang menghubungkan pengeluar minyak Teluk terbesar, seperti Arab Saudi, Iran, Iraq dan Amiriah Arab Bersatu (UAE), dengan Teluk Oman dan Laut Arab.
Penutupan itu dicetuskan oleh serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran pada 28 Februari yang cuba menggulingkan kepimpinan Iran, dengan Presiden Donald Trump menawarkan bantuan kepada rakyat Iran untuk menggulingkan ulama dan pemerintah negara itu.
Sebagai tindak balas, Iran melepaskan beberapa serangan peluru berpandu ke arah jiran-jiranya di Teluk yang menempatkan pangkalan tentera Amerika Syarikat seperti Qatar, Kuwait dan Bahrain.
Tehran juga melepaskan peluru berpandu ke arah Amiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Oman.
Dengan penutupan itu, Tehran berjaya mengatasi ancaman selama bertahun-tahun untuk menyekat laluan sempit itu sebagai tindak balas terhadap sebarang serangan ke atas Iran.
Kira-kira 20 peratus daripada penggunaan minyak harian dunia melalui Selat Hormuz, yang selebar kira-kira 33km pada titik tersempitnya.
Pasaran minyak kini menumpukan perhatian terhadap ketegangan antara Tehran dan seteru lamanya, Amerika Syarikat dan Israel, kerana bimbang konflik besar-besaran akan mengganggu bekalan dan menjejaskan kestabilan di rantau itu.
Langkah ini juga diambil selepas perkapalan global telah mengalami gangguan yang berkaitan dengan serangan dron dan peluru berpandu yang dilancarkan oleh kumpulan Houthi di Yaman yang bersekutu dengan Iran.
Kumpulan itu telah menyasarkan kapal-kapal di Laut Merah dan Teluk Aden sejak perang Gaza meletus pada 2023.
Kira-kira seperlima atau 20 peratus daripada penggunaan minyak global melepasi Selat Hormuz setiap hari.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.