Skip to main content

Dunia

Amerika ikrar akan terus serang Houthi selagi serangan ke atas kapal tidak dihentikan

Amerika Syarikat akan terus menyerang Houthi sehingga mereka menamatkan serangan ke atas kapal-kapal, kata Setiausaha Pertahanan Amerika pada Ahad (16 Mac), sedang Houthi memberi isyarat bahawa ia akan bertindak balas terhadap serangan maut Amerika sehari sebelum itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Amerika ikrar akan terus serang Houthi selagi serangan ke atas kapal tidak dihentikan

Sebuah pesawat Tentera Laut Amerika Syarikat di lokasi yang tidak didedahkan sebelum serangan udara di Sanaa, Yaman, pada 15 Mac 2025. (Gambar: Tentera Laut Amerika Syarikat melalui AP)

WASHINGTON/ADEN: Amerika Syarikat akan terus menyerang Houthi sehingga mereka menamatkan serangan ke atas kapal-kapal, kata Setiausaha Pertahanan Amerika pada Ahad (16 Mac), sedang Houthi memberi isyarat bahawa ia akan bertindak balas terhadap serangan maut Amerika sehari sebelum itu.

Serangan udara Amerika, yang menurut kementerian kesihatan yang dikendalikan Houthi, membunuh sekurang-kurangnya 53 orang, adalah operasi tentera Amerika yang terbesar di Timur Tengah sejak Presiden Donald Trump menyandang semula jawatan presiden pada Januari lalu.

Seorang pegawai Amerika memberitahu Reuters bahawa kempen itu mungkin berterusan selama beberapa minggu.

Pemimpin Houthi Abdul Malik al-Houthi berkata pada Ahad (16 Mac) bahawa kumpulan itu akan menyasarkan kapal-kapal Amerika di Laut Merah selagi Amerika meneruskan serangannya ke atas Yaman. "Jika mereka meneruskan pencerobohan mereka, kami akan meneruskan serangan kami," katanya dalam ucapan di televisyen.

Biro politik Houthi menyifatkan serangan itu sebagai "jenayah perang", sedang Mosko menggesa Washington supaya menghentikan serangan itu.

Jurucakap tentera Houthi pada Ahad berkata, tanpa menawarkan bukti, kumpulan itu menyasarkan kapal induk Amerika, USS Harry S Truman dan kapal perangnya di Laut Merah dengan peluru berpandu balistik dan dron sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika.

Seorang pegawai pertahanan Amerika, memberitahu Reuters dengan syarat namanya tidak didedahkan, menolak dakwaan itu, sambil mengatakan bahawa mereka tidak mengetahui sebarang serangan Houthi ke atas Truman.

Setiausaha Pertahanan Amerika Pete Hegseth memberitahu Fox News bahawa: "Apabila Houthi berkata kami akan berhenti menembak kapal-kapal anda, kami akan berhenti menembak jatuh dron anda. Kempen ini akan berakhir, tetapi sehingga itu ia akan berterusan."

"Ini adalah mengenai menghentikan serangan ke atas aset-aset ... di laluan perkapalan kritikal itu, untuk membuka semula kebebasan pelayaran, yang merupakan kepentingan teras Amerika Syarikat, dan Iran sejak sekian lama menyokong Houthi," katanya. "Lebih baik mereka berundur."

Houthi, yang telah menguasai sebahagian besar Yaman sejak sedekad lalu, menyatakan minggu lalu bahawa ia akan meneruskan serangan ke atas kapal-kapal Israel yang melalui Laut Merah jika Israel tidak menarik balik sekatan bantuan ke Gaza.

Houthi telah melancarkan beberapa serangan ke atas kapal-kapal selepas perang Israel dengan Hamas bermula pada penghujung 2023, menegaskan bahawa mereka bertindak untuk menunjukkan solidariti dengan penduduk Palestin di Gaza.

Encik Trump juga memberitahu Iran, penyokong utama Houthi, untuk berhenti menyokong kumpulan itu dengan serta-merta. Beliau berkata jika Iran mengancam Amerika Syarikat, maka "Iran akan menanggung padahnya!"
Sumber : Reuters/AW/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita