Amerika hentikan penghantaran peluru berpandu ke Ukraine
Pentagon menghentikan sebahagian penghantaran peluru berpandu pertahanan udara dan senjata lain ke Ukraine menyusuli kebimbangan stok senjata Amerika Syarikat kini berada pada paras yang terlalu rendah, menurut dua sumber terdekat pada Selasa (1 Jul).
Seorang wanita berdiri di sebelah sebuah kedai yang musnah akibat serangan ketenteraan Ukraine dalam konflik Rusia-Ukraine di Donetsk, yang dikawal Rusia di Ukraine, pada 1 Julai 2025. (Gambar: REUTERS/Alexander Ermochenko)
Penghantaran senjata yang dijanjikan kepada Kyiv oleh pentadbiran mantan Presiden Joe Biden diperlahankan sejak beberapa hari kebelakangan ini, termasuk pemintas pertahanan udara yang bertujuan untuk mencegah serangan dron dan peluru berpandu Rusia.
Dalam sebuah emel, Pentagon menyatakan bahawa pihaknya sedang menyediakan pilihan kepada Presiden Donald Trump untuk meneruskan bantuan ketenteraan kepada Ukraine, selaras dengan matlamat menamatkan perang Rusia di negara itu.
"Pada masa yang sama, jabatan ini sedang mengkaji dan menyesuaikan pendekatannya secara teliti untuk mencapai objektif ini, sambil memastikan kesiapsiagaan angkatan tentera Amerika Syarikat selaras dengan keutamaan pertahanan pentadbiran," kata timbalan setiausaha dasar Elbridge Colby.
Rusia, yang kini menguasai sebahagian daripada wilayah Ukraine, terus menceroboh secara bertahap-tahap, termasuk semakin menguasai wilayah tenggara Ukraine seperti Donetsk dan Dipropetrovsk dalam beberapa minggu kebelakangan ini, serta meningkatkan serangan udara ke seluruh negara.
Semua bantuan senjata dihentikan seketika pada Februari, dan sekali lagi bagi tempoh yang lebih panjang pada Mac.
Pentadbiran Encik Trump menyambung penghantaran bantuan terakhir, yang diluluskan di bawah pentadbiran Encik Biden.
Tiada dasar baharu diumumkan setakat ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.