Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Amerika hadkan penerbangan helikopter susuli nahas udara Washington; 41 mayat ditemui

Anggaran Waktu Membaca:
Amerika hadkan penerbangan helikopter susuli nahas udara Washington; 41 mayat ditemui

Gambar ini yang diperolehi daripada Pengawal Pantai Amerika (USCG), menunjukkan usaha menyelamat yang giat dijalankan pada 30 Jan 2025 di Sungai Potomac River menyusuli nahas udara itu. (Gambar: Handout / US Coast Guard / AFP)

Diterbitkan : 01 Feb 2025 07:50AM Dikemas Kini : 01 Feb 2025 07:51AM
WASHINGTON: Pihak berkuasa Amerika Syarikat menghadkan penerbangan helikopter berhampiran Lapangan Terbang Nasional Reagan Washington pada Jumaat (31 Jan).

Ini selepas sebuah pesawat penumpang American Airlines bertembung dengan sebuah helikopter tentera, yang meragut 67 nyawa.

Para pegawai berkata bahawa setakat semalam, 41 mayat mangsa telahpun ditemui. Ini sedang kakitangan bertungkus-lumus untuk mengeluarkan bangkai pesawat dan helikopter dalam nahas yang paling membawa maut di Amerika sejak dua dekad lalu, dari Sungai Potomac.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dengan tegas menghadkan penerbangan helikopter, untuk mengurangkan risiko berlakunya satu lagi pertembungan, menurut Setiausaha Pengangkutan Amerika Sean Duffy.

Encik Duffy menjelaskan bahawa keputusan itu akan segera memastikan keselamatan trafik kapal terbang dan helikopter di ruang udara berdekatan Lapangan Terbang Reagan.

FAA menghadkan kebanyakan helikopter daripada beberapa bahagian bagi dua laluan dekat lapangan terbang tersebut dan hanya membenarkan helikopter polis dan perubatan, pertahanan udara dan pengangkutan udara presiden di kawasan itu antara lapangan terbang berkenaan dan jambatan berhampiran.

Had tersebut akan berkuat kuasa sekurang-kurangnya sehingga Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional mendedahkan laporan awal mengenai nahas yang membawa maut itu, yang biasanya akan mengambil selama 30 hari.

Semasa tempoh itu, had tersebut akan disemak semula, jelas Encik Duffy.

Ketua Pegawai Eksekutif American Airlines Robert Isom mengalu-alukan keputusan untuk menyekat penerbangan helikopter itu sambil menyatakan bahawa syarikat penerbangan tersebut akan bekerjasama dengan pemerintah "untuk menjadikan sistem penerbangan lebih selamat, termasuk dengan meningkatkan pelaburan dalam infrastruktur, teknologi dan kakitangan."

Ketua Bomba Washington, DC, John Donnelly memberitahu para wartawan bahawa 28 mayat yang ditemui setakat ini, telah dikenal pasti.

"Kami menjangkakan untuk menarik keluar semua mayat," jelasnya. "Itulah sebabnya pasukan kami masih bekerja keras."
Sumber : Reuters/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan