Skip to main content

Dunia

Amerika gugurkan Syria dari senarai negara penaja pengganas

Anggaran Waktu Membaca:
  Amerika gugurkan Syria dari senarai negara penaja pengganas

Bendera di Damascus, Syria, 8 Dis 2025. (Gambar: REUTERS/Yamam al Shaar)

Diterbitkan : 25 Aug 2026 06:32AM Dikemas Kini : 25 Aug 2026 06:34AM
WASHINGTON: Amerika Syarikat pada Isnin (24 Ogos) menggugurkan Syria daripada senarai negara penaja pengganasan. Langkah ini membatalkan status yang telah dikuatkuasakan berdekad-dekad lalu yang mengenakan sekatan ekonomi ketat, sekali gus menandakan satu lagi langkah dalam usaha memulihkan hubungan antara kedua-dua negara.

Jabatan Luar Amerika Syarikat turut membatalkan status kumpulan al-Nusra - yang kemudiannya dikenali sebagai Hay'at Tahrir al-Sham (HTS) - sebagai pertubuhan pengganas global. Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat juga mengumumkan kelonggaran sekatan terhadap bantuan kepada Syria.

Kumpulan pemberontak yang dipimpin oleh HTS telah menggulingkan pemimpin lama Syria, Bashar al-Assad, pada Disember 2024. Pemimpin kumpulan itu, Ahmed al-Sharaa, kini mengambil alih tugas sebagai presiden bagi membangunkan semula negara itu selepas lebih 13 tahun dilanda perang saudara.

"Tindakan hari ini akan membantu menggalakkan lebih banyak pelaburan ke Syria bagi menyokong kestabilan politik dan ekonomi," kata Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent dalam satu kenyataan.

Jabatan Perbendaharaan menyatakan bahawa langkah tersebut "selaras dengan janji Presiden (Donald) Trump untuk melonggarkan sekatan ke atas Syria."

Namun, agensi itu menegaskan bahawa pembatalan sekatan ke atas Syria "tidak mengubah pendirian Jabatan Perbendaharaan dalam menangani pengganasan global serta komitmen kami untuk menuntut kebertanggungjawaban daripada pihak yang tidak bertanggungjawab di Syria."

HUBUNGAN SEMAKIN MUHIBAH

HTS sebelum ini dikenali sebagai Al-Nusra dan merupakan cabang Al-Qaeda di Syria, sebelum memutuskan hubungan dengan kumpulan tersebut pada 2016.

Amerika Syarikat pada mulanya mengumumkan hasratnya pada Julai untuk menggugurkan Syria daripada senarai negara penaja pengganasan, satu langkah yang dilihat sebagai tanda kepercayaan terhadap Sharaa.

Encik Trump telah bertemu dengan Presiden Syria itu di sela-sela Sidang Puncak NATO di Turki. Sharaa, seorang bekas anggota kumpulan tersebut yang kini cuba menampilkan dirinya sebagai tokoh penyatu selepas kejatuhan keluarga Assad yang memerintah dengan kuku besi selama setengah abad.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio berkata pembatalan senarai sekatan pada Isnin memberikan rakyat Syria "jalan ke arah kemakmuran."

Tindakan itu "menghapuskan halangan besar terakhir bagi pelaburan sektor swasta di Syria, selain menggalakkan pemulihan ekonomi serta integrasi semula Syria ke dalam ekonomi global," kata beliau dalam satu kenyataan.

Para pegawai kanan di Damsyik menyambut baik pembatalan itu sebagai peluang besar bagi negara tersebut, yang masih terjejas teruk dari segi ekonomi selepas lebih sedekad dilanda peperangan yang menurut kumpulan-kumpulan hak asasi manusia telah mengorbankan lebih setengah juta nyawa.

Menteri Luar Syria Assad al-Shaibani menyifatkan pembatalan oleh Washington itu sebagai "pencapaian bersejarah" dan berkata ia mencerminkan "komitmen pentadbiran baharu Syria terhadap keamanan dan keselamatan antarabangsa."

Menteri Kewangan Mohammed Barnieh pula menyifatkan langkah itu sebagai "kejayaan bagi diplomasi Syria," menurut agensi berita rasmi SANA.

Ia "membuka pintu besar yang sudah lama dinanti-nantikan untuk mengukuhkan penyertaan Syria dalam sistem ekonomi dan kewangan global, menarik pelaburan serta teknologi moden, dan menyokong peluang pembangunan."

Gabenor Bank Pusat Safwat Raslan turut memuji perkembangan tersebut sambil menambah bahawa institusinya "sedang berusaha membina sistem kewangan yang moden dan dipercayai, yang mampu berkembang seiring dengan kemajuan serta memanfaatkan setiap peluang yang ada."
Sumber : AFP/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita