Amerika dan China capai perjanjian kurangkan tarif, kata pegawai

Bendera China dan Amerika berkibar di luar bangunan milik syarikat Amerika di Beijing, China pada 8 Apr 2025. (Gambar fail: REUTERS/Tingshu Wang)
Ini sedang dua ekonomi terbesar dunia itu berusaha untuk mengakhiri perang dagang yang telah mengganggu prospek global dan menjejas pasaran kewangan.
Berucap selepas perbincangan dengan pegawai China di Geneva, Setiausaha Perbendaharaan Amerika Scott Bessent memberitahu media bahawa kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menghentikan langkah-langkah selama 90 hari, dan tarif akan dikurangkan lebih daripada 100 mata peratusan kepada 10 peratus.
"Kedua-dua negara mengemukakan kepentingan negara masing-masing dengan sangat baik," kata Encik Bessent.
"Kami berdua mempunyai kepentingan dalam perdagangan yang seimbang, Amerika akan terus bergerak ke arah itu."
Encik Bessent berucap bersama Wakil Perdagangan Amerika Jamieson Greer selepas perbincangan hujung minggu di mana kedua-dua pihak memuji kemajuan dalam merapatkan jurang perbezaan.
Pertemuan Geneva adalah interaksi bersemuka pertama antara pegawai ekonomi kanan Amerika dan China sejak Presiden Donald Trump kembali berkuasa dan melancarkan serangan tarif global, mengenakan cukai yang sangat berat terhadap China.
Sejak memegang jawatan presiden pada bulan Januari, Encik Trump telah menaikkan tarif yang dibayar oleh pengimport Amerika untuk barangan dari China kepada 145 peratus.
Ini sebagai tambahan kepada tarif yang dikenakan ke atas banyak barangan China semasa penggal pertamanya serta cukai yang dikenakan oleh pentadbiran Biden.
China bertindak balas dengan mengenakan sekatan eksport ke atas beberapa unsur nadir bumi (rare earth elements), yang penting untuk pengeluar Amerika bagi senjata dan barangan elektronik pengguna, dan menaikkan tarif ke atas barangan Amerika kepada 125 peratus.
Pertikaian tarif telah menyebabkan perdagangan dua hala bernilai hampir AS$600 bilion (S$778.3 bilion) terhenti, mengganggu rantaian bekalan, serta mencetuskan kebimbangan mengenai stagflasi dan beberapa pemberhentian kerja.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.