Skip to main content

Dunia

Amerika dakwa penggodam China ceroboh rangkaian agensi pemerintah termasuk Jabatan Kehakiman, Rizab Persekutuan

Amerika Syarikat pada Rabu (26 Ogos) menyatakan pihaknya berjaya melumpuhkan satu operasi penggodaman China yang didakwa bertanggungjawab terhadap pencerobohan dan percubaan mencerobohi rangkaian beberapa agensi pemerintah yang sensitif.

Anggaran Waktu Membaca:
Amerika dakwa penggodam China ceroboh rangkaian agensi pemerintah termasuk Jabatan Kehakiman, Rizab Persekutuan

Bendera Amerika Syarikat dan China dalam ilustrasi yang dirakam pada 20 Mac 2025. (Gambar fail: REUTERS/Dado Ruvic)

Diterbitkan : 27 Aug 2026 02:28PM
WASHINGTON: Amerika Syarikat pada Rabu (26 Ogos) menyatakan pihaknya berjaya melumpuhkan satu operasi penggodaman China yang didakwa bertanggungjawab terhadap pencerobohan dan percubaan mencerobohi rangkaian beberapa agensi pemerintah yang sensitif.

Antaranya termasuk Jabatan Kehakiman, Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Rizab Persekutuan dan Senat Amerika.

Jabatan Kehakiman Amerika menyatakan pihaknya merampas domain yang digunakan dua platform penggodaman yang dikenali sebagai QScan dan QTRouter.

Menurut jabatan itu, kedua-dua platform tersebut digunakan sebagai sebahagian daripada operasi penggodaman berkenaan.

Satu afidavit turut mengenal pasti Jabatan Tenaga, Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Kemanusiaan serta Institut Kesihatan Nasional (NIH) Amerika sebagai antara mangsa penggodam.

Empat syarikat yang tidak dinamakan di Amerika dan Korea Selatan turut menjadi mangsa.

CHINA TOLAK DAKWAAN

Seorang jurucakap Kedutaan China di Washington berkata pihaknya tidak mengetahui butiran khusus yang terkandung dalam kenyataan Jabatan Kehakiman Amerika.

Namun, jurucakap itu menegaskan pemerintah China "tegas menentang dan memerangi segala bentuk serangan siber mengikut undang-undang".

Menurutnya, Amerika menggunakan isu keselamatan siber untuk "memburukkan atau mencemarkan nama China".

Beijing turut menuduh Washington memperluaskan konsep keselamatan negara dan menggunakannya sebagai alasan untuk mengenakan sekatan bersifat diskriminasi terhadap syarikat-syarikat China.

Jabatan Kehakiman Amerika mendakwa platform penggodaman tersebut dikendalikan sebuah syarikat yang berpangkalan di China, Nanjing Xinjiuwei Network Technology Company.

Menurut jabatan itu, antara pelanggan syarikat tersebut ialah Kementerian Keselamatan Negara China dan Tentera Pembebasan Rakyat (PLA).

Nanjing Xinjiuwei tidak segera memberikan respons terhadap permintaan untuk mendapatkan komen.

CUBA CEROBOH RANGKAIAN SEJAK 2018

Menurut afidavit berkenaan, para penggodam menggunakan peralatan yang mereka bangunkan untuk mencerobohi prasarana kritikal dan rangkaian sensitif lain di Amerika serta seluruh dunia sejak sekurang-kurangnya 2018.

Bagaimanapun, tidak semua percubaan mereka berjaya.

Pada Ogos 2019, penggodam dilaporkan cuba mencerobohi rangkaian NASA dengan menyasarkan kelemahan pada rangkaian persendirian maya (VPN), namun percubaan itu gagal.

Pada September 2024, mereka didakwa berjaya mencerobohi tiga makmal Jabatan Tenaga yang tidak dinamakan, NIH, sebuah agensi di bawah Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Kemanusiaan serta sebuah pengeluar peralatan keselamatan Amerika.

Satu nasihat keselamatan siber bersama yang dikeluarkan Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Agensi Keselamatan Negara (NSA) dan Pasukan Misi Siber Nasional di bawah Pemerintah Siber Amerika turut memperincikan beberapa operasi penggodaman sepanjang beberapa tahun lalu.

Ini termasuk kejayaan mencuri data daripada kontraktor pertahanan, institusi kewangan dan universiti yang tidak dinamakan pada Mei 2024.

Pada Mac tahun ini, penggodam turut mengimbas kelemahan dan cuba mencerobohi rangkaian Senat Amerika serta sebuah hospital di negara itu, namun percubaan tersebut gagal.

Kempen penggodaman yang dikaitkan dengan China sebelum ini turut menjejas beberapa rangkaian sensitif pemerintah dan sektor swasta Amerika, termasuk rangkaian syarikat telekomunikasi utama.

Para pakar yang memantau kegiatan siber China berkata kontraktor swasta sering menjalankan operasi pencerobohan berprofil tinggi bagi pihak pelbagai agensi pemerintah China.
Sumber : Reuters/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita