Skip to main content

Dunia

Amerika dakwa 3 pegawai kanan Telekom Malaysia dalam penipuan jutaan dolar

Amerika Syarikat mendakwa tiga pegawai kanan Telekom Malaysia (TM) atas tuduhan menyeleweng lebih AS$20 juta (S$25.63 juta) daripada syarikat telekomunikasi milik negara Malaysia, menurut Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) pada Selasa (19 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Amerika dakwa 3 pegawai kanan Telekom Malaysia dalam penipuan jutaan dolar

Jabatan Keadilan Amerika Syarikat di Washington, DC, pada 1 Februari 2026. (Gambar: REUTERS/Ken Cedeno)

Diterbitkan : 20 May 2026 04:36PM
KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat mendakwa tiga pegawai kanan Telekom Malaysia (TM) atas tuduhan menyeleweng lebih AS$20 juta (S$25.63 juta) daripada syarikat telekomunikasi milik negara Malaysia, menurut Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) pada Selasa (19 Mei).

Mohd Hafiz Lockman, Mohd Yuzaimi Yusof dan Khanh Thuong Nguyen, yang merupakan eksekutif kanan di anak syarikat TM di Amerika Syarikat, dituduh menggunakan kenyataan palsu dan rekod yang dipalsukan untuk menyeleweng dana daripada syarikat tersebut serta memperdaya rakan niaga, pembekal, juruaudit dan penyelia di Amerika Syarikat dalam beberapa kejadian antara Julai 2020 hingga Februari 2026, menurut pihak berkuasa.

“Tiga individu ini didakwa menjalankan skim penggelapan wang yang disengajakan dan terancang, termasuk memalsukan rekod korporat demi kepentingan kewangan sendiri,” kata Penolong Pengarah FBI yang bertanggungjawab, James C. Barnacle Jr., dalam kenyataannya.

Mohd Hafiz diberkas di lapangan terbang San Francisco, manakala dua lagi tertuduh menyerah diri kepada pihak berkuasa bulan lalu.

Ketiga-tiga mereka didakwa atas konspirasi penipuan melalui pemindahan elektronik, penipuan melalui pemindahan elektronik dan pencurian identiti yang serius, menurut DOJ.

Mohd Hafiz, Mohd Yuzaimi dan Nguyen tidak dapat dihubungi dengan serta-merta untuk mendapatkan komen.

TM dalam kenyataannya berkata ketiga-tiga individu itu sudah dipecat menyusuli siasatan dalaman berhubung salah laku yang disyaki, dengan hasil siasatan kemudiannya dikongsikan dengan pihak berkuasa berkaitan.

Syarikat itu menyatakan ia akan terus memberikan kerjasama penuh kepada DOJ.

DOJ menyatakan ia memutuskan untuk tidak memfailkan tuduhan terhadap TM selepas syarikat itu melaporkan sendiri kegiatan jenayah tersebut.

Reuters melaporkan pada Mac bahawa jabatan itu sedang melaksanakan dasar untuk menggalakkan syarikat melaporkan salah laku jenayah sebagai pertukaran bagi hukuman lebih ringan dan manfaat lain.

Menurut dakwaan Amerika Syarikat, para tertuduh didakwa memindahkan jutaan dolar daripada TM ke akaun bank yang dikawal mereka.

Dalam satu kejadian, TM diminta untuk meluluskan penjualan kapasiti sebanyak lapan terabait bernilai AS$54 juta (S$69.21 juta) kepada sebuah syarikat multinasional Amerika Syarikat, sedangkan nilai sebenarnya yang dibeli hanya melibatkan enam terabait.

Para tertuduh kemudian didakwa menjual lebihan kapasiti tersebut kepada syarikat lain, mengalihkan dana daripada penjualan haram itu menerusi sebuah entiti palsu, menurut DOJ.

Mereka juga didakwa menaikkan kos pembelian kabel, dengan hampir AS$2.9 juta (S$3.7 juta) pembayaran disalurkan ke akaun bank yang mereka kawal, selain didakwa membuat tuntutan bayaran balik bagi perbelanjaan kerja yang direka-reka, menurut DOJ.

Ketiga-tiga mereka juga didakwa menyamar sebagai pekerja dan pelatih untuk mengambil gaji mereka, dan dalam satu kejadian menggunakan penyamaran yang dibantu kecerdasan buatan (AI) untuk memperdaya kakitangan sumber manusia, menurut DOJ.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita