Skip to main content

Dunia

Amerika, China setuju tubuhkan saluran komunikasi langsung bagi hubungan ketenteraan

Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Pete Hegseth pada Ahad (2 Nov) berkata Washington dan Beijing akan menubuhkan saluran komunikasi antara pasukan tentera kedua-dua negara, sambil menambah hubungan dua hala antara kedua-dua negara "berada di peringkat yang sangat baik".
Anggaran Waktu Membaca:
Amerika, China setuju tubuhkan saluran komunikasi langsung bagi hubungan ketenteraan
Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Pete Hegseth. (Gambar fail: Pool menerusi REUTERS/Eugene Hoshiko)
KUALA LUMPUR: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Pete Hegseth pada Ahad (2 Nov) berkata Washington dan Beijing akan menubuhkan saluran komunikasi antara pasukan tentera kedua-dua negara, sambil menambah hubungan dua hala antara kedua-dua negara "berada di peringkat yang sangat baik".

Encik Hegseth berkata beliau sudah pun berbincang dengan rakan sejawatannya dari China, Laksamana Dong Jun, pada lewat Sabtu di luar mesyuarat keselamatan serantau dan kedua-duanya bersetuju bahawa “keamanan, kestabilan dan hubungan baik adalah jalan yang terbaik bagi kedua-dua negara yang hebat dan kuat itu".

Kenyataannya yang dimuat naik di platform X itu dibuat beberapa jam selepas beliau menggesa negara-negara Asia Tenggara supaya berpendirian tegas dan memperkukuhkan keupayaan maritim masing-masing bagi menentang tindakan China yang semakin “menggugat kestabilan” di Laut China Selatan.

“Tuntutan China terhadap wilayah dan maritim yang meluas di Laut China Selatan bercanggah dengan komitmen mereka untuk menyelesaikan pertikaian secara aman,” kata Encik Hegseth dalam mesyuarat dengan rakan sejawatannya dari Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) pada Sabtu.

“Kami mahukan keamanan. Kami tidak mengundang konflik. Tetapi kami harus memastikan bahawa China tidak cuba untuk menguasai anda atau sesiapa pun,” tambah beliau.

Laut China Selatan kekal sebagai antara titik panas paling tegang di Asia.

Beijing menuntut hampir keseluruhan wilayah berkenaan, sementara empat anggota ASEAN, Filipina, Vietnam, Malaysia dan Brunei, turut menuntut hak ke atas kawasan pesisir dan beberapa ciri geografi di situ.

Filipina, sekutu utama Amerika Syarikat, sering berdepan insiden ketegangan dengan armada maritim China.

Manila berulang kali menggesa tindak balas serantau yang lebih tegas, namun ASEAN sudah pun berusaha untuk menyeimbangkan langkah berhati-hati dengan hubungan ekonomi bersama Beijing, yang merupakan rakan dagang terbesar di rantau itu.

Encik Hegseth turut berkata di wadah X bahawa beliau sudah berbincang dengan Presiden Donald Trump dan kedua-duanya bersetuju bahawa “hubungan antara Amerika Syarikat dan China tidak pernah sebaik ini”.

Pertemuan antara Encik Trump dengan Presiden China Xi Jinping di Korea Selatan pada awal minggu ini “telah menetapkan hala tuju ke arah keamanan dan kejayaan berkekalan bagi Amerika Syarikat dan China”, tambah Encik Hegseth, yang meninggalkan Malaysia pada Ahad untuk melakukan lawatan ke Vietnam.

Perbezaan nada antara amaran keras yang dikeluarkan semasa mesyuarat ASEAN dan kenyataan damai di media sosial itu menyerlahkan usaha Washington untuk mengimbangi pendekatan pencegahan dengan diplomasi di tengah-tengah ketegangan yang meningkat dengan Beijing.
Sumber : AP/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita